Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Banyak negara Islam terima Icerd tiada pilihan raya, kata Hadi

Antara soalan yang sering timbul sejak isu Icerd menjadi hangat baru-baru ini ialah, mengapa Malaysia enggan meratifikasi konvensyen berkenaan sedangkan hampir semua negara Islam berbuat demikian.

Menjawab persoalan itu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengingatkan bahawa kebanyakan negara Islam yang telah meratifikasi Icerd - atau Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum - itu bukanlah pengamal demokrasi seperti Malaysia.

Hal itu, katanya, menjadikan Malaysia jauh lebih baik, biarpun mengambil pendirian untuk tidak meratifikasi Icerd.

“Kebanyakan negara yang kononnya menerima Icerd ini, mengamalkan pemerintahan diktator sama ada secara ketenteraan mahupun monarki, dan mereka tiada pilihan raya,

“Mereka ini lebih teruk dari Malaysia, (mengamalkan) lebih (teruk) daripada diskriminasi. Alhamdulillah kita (pula) lebih baik,” katanya dalam program Bicara Minda anjuran Karangkraf, di Shah Alam hari ini.

Kenyataannya itu dipercayai merujuk kepada hak memilih kerajaan secara demokrasi melalui pilihan raya umum yang dimiliki oleh masyarakat Malaysia tanpa mengira kaum.

Bagaimanapun, dalam konteks Malaysia Abdul Hadi bertegas mahu tampuk politik tetap dikuasai oleh orang Melayu sebagai kaum majoriti.

Sayang kaum sendiri normal

Beliau berkata demikian sebagai menjawab isu yang dibangkitkan moderator Johan Jaaffar bahawa Icerd mempunyai semangat yang sama dengan Piagam Madinah dalam aspek hubungan antara kaum.

Dalam Piagam Madinah, 24 daripada 47 fasal yang terkandung dalamnya adalah tentang hubungan antara orang Islam dengan kaum lain.

Biarpun mengakui hal itu, Abdul Hadi menjelaskan, salah satu perkara yang digariskan dalam piagam tersebut ialah pemimpin mesti dipilih daripada kalangan orang Arab Quraisy sebagai kaum yang dominan.

“Sama juga seperti orang Turki menguasai pemerintahan Uthmaniah kerana mereka kaum yang dominan.

"Jadi kerana di Malaysia orang Melayu yang dominan, maka mesti orang Melayu yang menguasai politik,” katanya.

Malah, anggota parlimen Marang itu menyifatkan kedudukan tampuk politik yang terdapat di negara ini kini tidak seimbang kerana kerusi bukan Islam mengatasi kerusi orang Islam.

“Kini ada 66 kerusi bukan Islam dan 58 orang Islam, sedangkan demografi penduduk ialah 65 peratus Islam. Ini tidak seimbang,” katanya.

Tidak dapat dipastikan apa dimaksudkan oleh Abdul Hadi semasa membuat rujukan tersebut.

Untuk rekod, berdasarkan laman web rasmi Parlimen Malaysia, anggota parlimen PH adalah seramai 118 orang dan lebih daripada separuh ialah wakil rakyat beragama Islam.

Keadaan itu akan semakin bertambah jika diambil kira perkembangan terbaru di Sabah hari ini apabila enam anggota parlimen Umno meninggalkan parti itu dan menyatakan sokongan kepada perdana menteri.

Daripada jumlah tu empat adalah anggota parlimen beragama Islam.

Kata Abdul Hadi, pendirian tegasnya dalam menolak Icerd bukanlah bermaksud dia mengamalkan fanatik perkauman kerana sikap itu memang dilarang Islam.

“Diskriminasi ini berbeza definisinya antara negara, kita ada takrifan tersendiri. Nisbah diskriminasi dan adil kita (mungkin) berlainan," katanya.

Beliau juga mengakui perasaan cintakan kepada kaum sendiri itu adalah sifat semula jadi namun dikawal oleh agama.

“Kecintaan terhadap kaum itu memang ada dalam diri setiap manusia, bagaimanapun, Islam melarang sikap fanatik kebangsaan (perkauman), itu dilarang dalam Islam,” jelasnya lagi.

Secara keseluruhan, sehingga Nov lalu sebanyak 179 negara di seluruh dunia meratifikasi Icerd berbanding 18 buah yang belum.

Hanya dua negara Islam yang belum meratifikasi Icerd iaitu Malaysia dan Brunei.

Lihat Komen
ADS