Musim banjir mula melanda Terengganu dengan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir dibuka di Masjid Merbau Menyusut, Setiu pada 9 malam tadi.

Penolong Penguasa Bomba Zon 1, Zull Azman Jamaludin berkata PPS itu setakat ini menempatkan 30 mangsa daripada 10 keluarga, terdiri daripada 22 dewasa dan lapan kanak-kanak.

"Hujan lebat berterusan selama lebih enam jam siang tadi menyebabkan paras air Sungai Nerus di Kampung Langkap meningkat seterusnya melimpah ke kawasan rumah penduduk kampung sejak 7 malam tadi.

"Rumah penduduk yang terjejas dinaiki air setinggi 0.6m hingga 0.9m dan kita pindahkan mangsa ke PPS berkenaan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Sungai Nerus di Kampung Langkap mencecah paras 20.93 meter sekali gus melepasi paras amaran.

Agensi berkaitan termasuk bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam kini bersiap siaga bagi memastikan semua mangsa yang terlibat dipindahkan ke PPS dengan segera, katanya.

Sementara itu, kawasan rendah di sekitar Kampung Lubuk Panjang dan Kampung Gong Terap di Chalok, Setiu bakal dinaiki air sekiranya hujan berterusan malam tadi.

Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Chalok, Jambatan Chalok merekodkan bacaan setinggi 9.39 meter (m) melebihi paras bahaya 8.40 m pada 7.15 malam ini.

Empat sungai di Terengganu juga telah melepasi paras amaran iaitu Sungai Besut di Jambatan Keruak yang merekodkan bacaan 34.26 m berbanding paras amaran 34 m; Sungai Setiu di Kampung Besut, 17.41 m berbanding paras amaran 16.75 m; Sungai Nerus di Kampung Langkap (20.65 m} berbanding paras amaran 20.25 m dan Sungai Telemong di Kuala Ping (19.09 m) berbanding paras amaran 18.70 m.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata penduduk perlu sentiasa bersiap siaga dengan sebarang risiko banjir memandangkan tempoh air laut pasang besar juga telah bermula.

"Sekiranya berlaku hujan lebat dan bertembung dengan air laut pasang, ia mengundang risiko banjir di kawasan rendah," katanya. 

-- Bernama