Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan mahu semua anggota parti menerima keputusan hampir kesemua anggota jawatankuasa badan perhubungan negeri Sabah termasuk Pengerusinya Datuk Seri Hajiji Mohd Noor yang mengumumkan keluar parti dengan berlapang dada, terbuka dan rasional.

Katanya, Umno semenanjung menghormati keputusan dan ketetapan pemimpin Umno Sabah yang tidak lagi mahu bersama dengan parti.

“Isu ini melibatkan kesetiaan dan kebersamaan. Kedua-dua perkara ini bukanlah sesuatu yang boleh dipaksa-paksa dan dijual beli. Ia mesti hadir dengan keterbukaan dan secara sukarela. Saya menyarankan kepada semua pendukung Umno untuk terus menjalinkan hubungan dengan pemimpin di Sabah dan Sarawak walaupun tidak lagi dalam parti yang sama.

“Silaturahim dan perjuangan di antara pemimpin Melayu Semenanjung dan pemimpin Bumiputera Sabah dan Sarawak mesti diteruskan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan pemimpin Umno Sabah yang melibatkan lima anggota Parlimen, sembilan ADUN dan dua senator mengumumkan keluar daripada parti dan menjadi wakil rakyat Bebas.​​​​​​​

Dalam pada itu, beliau mengucapkan selamat maju jaya kepada kesemua pemimpin berkenaan.

“Terima kasih atas segala sumbangan dan jasa kepada Uumno, kepada orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan kepada negara selama ini,” katanya.

-- Bernama