Tak adil kecam Mas Ermieyati, kata exco Puteri
Exco Puteri Umno Natassia Roslan berkata parti itu perlu meneliti fenomena pemimpinnya meninggal parti dan menyertai musuh politik mereka.
“Kita kena lihat sebab mereka mengambil tindakan sebegitu,” kata Natassia kepada Malaysiakini.
Beliau diminta mengulas kemasukan bekas ketua Puteri Umno Mas Ermieyati Samsudin ke Bersatu hari ini.
Pengumuman Mas Ermieyati dibuat di tengah-tengah kehangatan isu pertemuan pemimpin kanan Umno dengan Dr Mahathir Mohamad dan penyertaan hampir semua pemimpin Umno Sabah ke dalam Bersatu semalam.
Mas Ermieyati antara anggota parlimen terawal yang keluar Umno pada 1 Julai lalu untuk menjadi wakil bebas.

Penyertaan anggota parlimen itu menjadikan Bersatu kini menambah penguasaan dalam Dewan Rakyat kepada 16 kerusi.
Ketika dihubungi, Natassia bagaimanapun percaya tindakan Mas Ermieyati itu tidak mudah dibuat.
“Saya pasti ini bukan satu keputusan yang senang untuk dibuat. Dan saya fikir ini untuk penduduk kawasannya di (parlimen) Masjid Tanah juga,” katanya.
Justeru, katanya, tidak adil untuk menyalahkan Mas Ermieyati semata-mata.
“Saya tidak rasa adil untuk mengecam dia kerana bertindak demikian sebab tanggungjawab (dia) sangat besar.
“Jadi, dia perlu pastikan pengundinya terjaga, jadi kita patut hormat keputusan dia,” katanya.
Beliau juga berkata hala tuju di peringkat akar umbi juga sekarang “tidak berapa jelas”.

