Senat Amerika Syarikat (AS) pada Rabu mengundi untuk membahaskan mengenai resolusi menamatkan sokongan Washington terhadap serangan Arab Saudi ke atas Yaman, ketika pembunuhan wartawan Saudi, Jamal Khashoggi terus mengeruhkan hubungan Trump dan Kongres.

Senat mengundi 60-39 untuk berbahas mengenai resolusi yang ditaja Senator Republikan Mike Lee dan Senator Bebas Bernie Sanders, sekaligus mencerminkan adanya gesaan mengkaji semula peranan Arab Saudi dalam insiden kematian Khashoggi dan konflik Yaman serta hubungan dua hala secara keseluruhan.

Bagaimanapun, masih tidak dapat ditentukan bagaimana pindaan resolusi itu akan mempengaruhi proses pengundian akhir yang akan diadakan kemudian, lapor agensi berita Xinhua.

Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Senat Bob Corker, memberitahu media beliau sedang dalam proses menyiapkan satu lagi resolusi berasingan yang mengecam kematian wartawan itu. Pemimpin majoriti Senat Mitch McConnell menggesa para senator mengundi menyokong cadangan Corker.

Dua ketetapan berkenaan andai diluluskan akan menjadi cabaran paling berani terhadap pentadbiran Trump yang menyatakan tiada bukti kukuh membuktikan Putera Mahkota Saudi terbabit secara langsung terhadap pembunuhan itu selain enggan menghukum Arab Saudi meskipun perisikan Amerika mendakwa pemimpin itu memang terbabit dalam kes berkenaan.

Kes itu juga telah menaikkan lagi kemarahan Hill di atas kecederaan orang awam yang ramai akibat serangan yang diketuai Saudi di Yaman.

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo dan Setiausaha Pertahanan, James Mattis, bersedia untuk memberikan maklumat terpeinci mengenai kes Khashoggi dan konflik Yaman pada Khamis.

Khashoggi hilang sejak kali terakhir dilihat memasuki konsulat Saudi di Istanbul pada 2 Oktober. Pihak berkuasa mengatakan beliau terbunuh dalam "pergaduhan" di konsulat, dan menafikan putera mahkota Saudi terbabir dalam pembunuhan itu.

-- BERNAMA


GR AYU


Thursday , 13 December 2018