Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno jangan cari jalan singkat jadi kerajaan - Razlan

ULASAN | Semakin hari semakin menarik cerita Politik Malaysia. Bidasan, kritikan malah perang saraf antara pemain politik semakin seronok ditonton.

Anwar Ibrahim sudah kembali panas apabila melihat keakraban Tun Mahathir dengan rakan-rakan lama dalam Umno. Serupa juga dengan Tun M, apabila melihat Anwar semakin rapat dengan Nazri Aziz dan rakan-rakan.

Permainan gambar-gambar yang keluar di media sosial menjemput kritikan demi kritikan untuk gerakan perang saraf agar perancangan mereka menemui kejayaan.

Yang pastinya, masing-masing mempunyai syak wasangka dengan perkembangan ini.

Anwar dengan kumpulannya memperkukuhkan bilangan MP untuk persiapkan diri menjadi PM, dan Tun M dengan kumpulan beliau untuk membuat benteng agar tidak disingkirkan dan dimalukan sebagai PM.

Umno masih tidak sedar cerita di atas adalah cerita dongeng yang dimimpikan saban hari. Presiden Umno setiap kali turun padang, begitu yakin dengan "Government in Waiting" malah ada ahli yang dah meluat dengan perkara ini.

Nazri Aziz yang jalan ke bahagian-bahagian pula menjaja restu daripada presiden untuk bekerjasama dengan DAP, PKR dan parti lain untuk menghalang tindakan Tun M melumpuhkan Umno.

Hishamuddin pula dituduh oleh lulusan Oxford sebagai golongan Bangsawan yang mahu menjatuhkan presiden dan membawa Sabah keluar dari Umno.

Mereka semua ini sedang menjaja dan dipergunakan oleh PH, malah PH yang diasak diri kanan dengan pelbagai isu dengan selamba sahaja memimpin negara, DAP pula terus fokus kepada kerja mereka.

Sebagai ahli akar umbi, memang kita mahukan pemimpin untuk merancang demi kebaikan Parti Namun apa yang terjadi hari ini menunjukkan perpecahan semakin ketara, saban hari ada sahaja ahli Umno yang keluar dengan pelbagai alasan.

Presiden Umno dilihat tidak dapat mengawal kumpulan-kumpulan pro-Tun dan kumpulan pro-Anwar. Mereka menjaja cerita macam-macam dan saya tidak nampak ia akan ke arah positif, malah ibarat retak menunggu belah.

Pandangan akar umbi mahukan Umno terus bergerak dengan maruah dan berprinsip. 

Bergerak melawan 'rompakan' hak orang Melayu oleh DAP yang saban hari mengikis keistimewaan orang Bumiputera.

Pemimpin Umno kena belajar jadi pembangkang yang efektif daripada mahu mencari jalan singkat menjadi kerajaan.


 RAZLAN RAFII ialah Naib Ketua Umno Seputeh.

Artikel ini merupakan pendapat peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Maaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS