Bekas wakil rakyat Umno Sabah yang bertindak keluar parti itu semalam didakwa mempunyai agenda peribadi untuk kepentingan mereka dan bukan kerana tidak berpuas hati terhadap hala tuju parti.
Ketua Penerangan Umno, Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata hala tuju parti itu jelas iaitu "Umno mahu menang dan kembali berkuasa"
Oleh itu katanya, hanya mereka yang memahami idealisme serta perjuangan Umno iaitu demi agama, bangsa dan negara saja akan kekal bersama perjuangan parti itu.
"Adalah tidak boleh diterima apabila mereka yang meninggalkan parti dengan memberi alasan bahawa Umno masih tiada hala tuju yang jelas.
"Ini kerana segalanya telah dimaklumkan. Pucuk pimpinan telah menetapkan apa yang perlu dilakukan oleh pimpinan dan ahli parti di semua peringkat termasuk di Sabah.
"Malah cadangan-cadangan untuk memberi kuasa autonomi yang Umno Sabah inginkan juga sedang dipersiapkan.
"Jawatankuasa Khas bersama berkaitan dengannya juga telah dibentuk dan berfungsi," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Shamsul, presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga menyatakan persetujuan ketika perjumpaan dengan pimpinan Umno Sabah untuk memberikan kuasa autonomi sekiranya berkuasa semula.
Justeru itu katamya perkara ini sepatutnya tidak dipersoalkan lagi.
"Sebab itu Umno percaya mereka meninggalkan Umno sebenarnya dengan tujuan dan matlamat yang lain. Cuma hanya menjadikan hala tuju kurang jelas sebagai alasan.
"Umno mahu menang dan kembali berkuasa selepas ini. Inilah hala tuju yang telah dipersetujui bersama sebagaimana yang diumumkan Presiden Umno sewaktu PAU 2018 lalu," katanya.
Semalam, Umno Sabah dilaporkan lumpuh selepas hampir semua anggota jawatankuasa badan perhubungan negeri itu termasuk pengerusinya Hajiji Mohd Noor mengumumkan keluar parti.
Tindakan keluar parti itu turut melibatkan lima anggota Parlimen, sembilan Adun dan dua senator. Kurang 24 jam selepas itu, Bekas ketua Puteri Umno Mas Ermieyati Samsudin pula mengumumkan keluar Umno dan menyertai Bersatu.
