Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN | Perkembangan terkini politik di Sabah yang melihat hampir kesemua Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ketua Bahagian Umno meninggalkan parti adalah sangat mendukacitakan.

Ternyata ramai pimpinan Umno, tatkala kehilangan kuasa, menjadi sangat rapuh dan hilang pedoman perjuangan.

Pimpinan utama Umno Sabah menyatakan bahawa tindakan sedemikian didorong kehilangan keyakinan kepada kepimpinan parti dalam mengemudi Umno, setelah tewas dalam pilihanraya lepas.

Saya hormati alasan sedemikian. Saya percaya, sentimen ini juga dirasakan oleh ahli dan pendukung Umno lain di seluruh negara. Betapa usaha merawat, memulih dan membangunkan semula Umno kelihatan tidak dilakarkan dengan jelas dan tidak diberikan kepimpinan sewajarnya.

Cuma, saya ingin tegaskan. Selaku pemimpin, kita sepatutnya mempamerkan ketahanan dan kesungguhan untuk bersama-sama membetulkan parti. 

Andai ada langkah yang canggung, janganlah lantai yang dipersalah. Andai ada yang lemah dalam perjuangan bangsa, janganlah yang dibuang itu wadahnya.

Umno tidak bersalah

Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, penolakan rakyat ke atas Umno dalam PRU14 yang lepas adalah kerana pucuk pimpinan yang enggan mendengar suara rakyat dan dicemari krisis integriti dan ketelusan.

Saya sendiri turut menyatakan pendirian betapa kepimpinan sebelum ini lemah sehingga menyebabkan parti tersasar dan ditolak.

Namun, pada masa yang sama, saya percaya, kita harus mengambil pertanggungjawaban. Kita harus kekal berusaha bersama-sama merawat parti.

Umno sebagai satu wadah tidak bersalah. Yang bersalah adalah pengemudinya.

Jika semuanya tenang, manis dan mudah, itu bukanlah perjuangan untuk bangsa namanya. Tetapi, itu perlumbaan mengejar nama, pangkat dan kekayaan. Dan inilah yang saya lihat berlaku kepada para pemimpin Sabah yang meninggalkan Umno.

Mereka tidak mahu bertahan dan kekal dengan kesukaran memulihkan parti yang jatuh dan tewas. Tetapi, memilih jalan keluar yang kelihatan lebih mudah dan lunak.

Bangkit kembali

Umno tidak seharusnya dibiarkan berterusan begini. Kesusutan pengaruh Umno bukan sahaja akan menjadi lebih parah, malah akan mematikan parti perjuangan orang Melayu nan satu-satunya ini dalam sedikit masa lagi.

Justeru, saya menyeru agar peristiwa yang berlaku di Sabah ini menjadi pencetus pembaharuan yang sangat didambakan oleh ahli Umno dan orang Melayu.

Untuk berubah dan bangkit kembali, Umno tidak boleh terus berdolak-dalik dan hidup dalam penafian. Kepimpinan, hala tuju serta pemulihan parti mesti menjadi agenda yang diterjemahkan secara tegas dan serius.

Malah kita mesti dengan segera dan terbuka mengakui bahawa segalanya sangat bercelaru dalam Umno. Parti ini hanya akan dapat diislahkan dengan kepimpinan yang berwibawa, berkesan dan berintegriti.

Justeru itu, saya percaya Majlis Tertinggi Umno akan mencari jalan pencerahan bagi menangani perkara ini.

Saya berdoa agar terbit fajar yang akan menyuluh Umno dalam kegelapan ini dan mencerahkannya. 


MOHAMED KHALED NORDIN ialah naib presiden Umno.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS