Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'PKR Kelantan perlu tokoh setara Husam, Tok Pa atau Mohd Amar'

Pemilihan pimpinan PKR di peringkat pusat sudah selesai dengan jayanya dan kini giliran pemilihan kepimpinan peringkat negeri pula menanti.

Di Kelantan, persoalan sama ada penyandang pengerusinya, Ab Aziz Ab Kadir akan dikekalkan atau tempatnya diganti orang lain, kini masih menimbulkan tanda tanya.

Penyandang Pengarah Komunikasi PKR Kelantan, Mohd Sukirman Mustafa berpendapat, pemilihan orang nombor satu di peringkat negeri itu mestilah boleh diterima penyokong akar umbi.

Oleh itu pimpinan pusat wajar mengambil kira faktor berkenaan apabila menyenaraikan nama calon yang layak.

"Kita mahukan seseorang yang boleh diterima oleh semua pimpinan negeri termasuk peringkat akar umbi dan dapat bekerjasama baik dengan pimpinan Pakatan Harapan (PH) negeri. Namun kita boleh melihat tokoh yang lebih beri keselesaan kepada banyak pihak lebih memihak kepada penyandang," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

 

 

Difahamkan lantikan jawatan pengerusi PKR negeri itu akan diumumkan oleh presidennya, Anwar Ibrahim tidak lama lagi selepas Kedah, Negeri Sembilan, Perak, Sabah dan Melaka.

 

Pengalaman Ab Aziz

Beberapa nama pimpinan PKR Kelantan disebut-sebut mengisi jawatan itu. Selain Ab Aziz yang juga ketua cabang Ketereh, dua lagi calon ialah Suparadi Md Noor (ketua cabang Tanah Merah) dan Roslan Puteh (ketua cabang Kuala Krai).

Mengulas lanjut Mohd Sukirman berkata, pengalaman Ab Aziz sebagai antara pengasas PKR Kelantan perlu diambil kira selain sudah lama terbabit dalam kancah politik negeri itu bersama PKR.

 

 

"Kita lihat PKR Kelantan masih memerlukan khidmat beliau, sebagai seorang yang mempunyai imej keperibadian baik dan lebih mesra dengan pimpinan anggota di pelbagai peringkat.

"Beliau sudah memimpin kita dengan baik sejak zaman sebagai pembangkang dan kini kita sudah membentuk kerajaan persekutuan. Jadi kita harap presiden membuat pertimbangan sewajarnya demi keutuhan PKR negeri ini," jelasnya.

 

Pendekatan luar biasa

Sementara itu penganalisis politik, Prof Madya Dr Rusdi Omar berpendapat, kepimpinan PKR perlu mengambil pendekatan luar biasa dalam memilih pengerusi negeri Kelantan.

Antara kriteria utama yang diperlukan adalah calon berkenaan mestiah individu yang berlatar belakang pendidikan tinggi.

"Dalam senario politik baru sepatutnya mereka kena berubah kalau mahu dapat sokongan rakyat Kelantan," katanya yang juga pensyarah kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM).

 

 

Dr Rusdi berkata, ramai ketua cabang PKR di Kelantan dipilih berdasarkan sumber keupayaan kewangan mereka dan bukan disebabkan kelayakan dalam bidang akademik.

"PKR Kelantan perlu dipimpin seseorang yang setanding pimpinan Amanah seperti Husam Musa (pengerusi PH Kelantan), Mustapa Mohamed (bekas pengerusi Umno Kelantan) atau Mohd Amar Nik Abdullah (naib presiden PAS).

"Jadi dalam keadaan itu, pengerusi PKR mungkin tidak semesti datang daripada ketua cabang. Mereka boleh buat pendekatan luar daripada kebiasaan," jelasnya.

Kamaruddin tokoh terbaik 

Tambah beliau, pemimpin yang dilihat beruapa menyaingi tokoh terbabit dalam PKR Kelantan buat masa ini ialah Timbalan Menteri Pengangkutan, Kamarudin Jaffar.

"Dengan kedudukan sebagai timbalan menteri, berpengalaman dengan politik Kelantan saya fikir PKR boleh pertimbangkan. Saya percaya kewibawaan dan kredibiliti Kamarudin boleh bawa perubahan kepada PKR menjadi sebuah parti yang mampu memberi saingan kepada PAS kelak," katanya.

 

 

Bagi Pensyarah Kanan Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, PKR perlu menampilkan muka baru yang boleh membawa imej lebih dinamik dan segar untuk negeri Kelantan.

Katanya, kepiminan Ab Aziz dalam tempoh yang agak lama dilihat tidak mampu menonjolkan PKR sebagai sebuah parti yang berpengaruh di negeri itu.

"Selain wujudnya kelemahan dalam jentera, PKR masih gagal melebarkan pengaruh di peringkat akar umbi. Semasa era Pakatan Rakyat, PAS sendiri tidak begitu percaya dan memandang rendah keupayaan PKR khususnya di Kelantan.

"Pada pendapat saya, Anwar perlu melihat kepada keperluan PKR dipimpin oleh pemimpin baru yang lebih dinamik dan membawa wajah segar kepada PKR," katanya.

Tambah beliau, kedudukan PKR Kelantan mungkin hanya kekal tanpa sebarang momentum perubahan jika situasi sedia ada terus dipraktikkan.

"Ia tidak akan wujudkan kemajuan dalam konteks politik Kelantan jika tokoh yang sudah lama memimpin itu terus dikekalkan," jelasnya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS