Selepas desakan pelbagai pihak agar bantuan musim tengkujuh disalurkan kepada golongan yang memerlukan, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub memaklumkan ia akan diberikan dalam masa terdekat.

Katanya, perbincangan mengenai bantuan tersebut sudah pun dibawa ke parlimen.

Perkara itu disampaikan Salahuddin kepada pemberita selepas sidang media bersama Presiden Amanah Mohamad Sabu di Konvensyen Nasional Amanah 2018 di Meru, Perak.

“Kita ada bincang dalam kabinet, Rabu lepas.

“Kabinet mengambil masa berbincang dan melihat keperluan termasuklah penoreh getah, peneroka Felda, nelayan dan juga petani-petani yang sedang menghadapi kesusahan.

“Kabinet dah bersetuju untuk bincangkan perkara ini dan salurkan bantuan dalam tempoh terdekat,” katanya lagi.

Beliau mengulas harapan Mohamad dalam pidatonya ketika majlis perasmian agar bantuan musim tengkujuh dapat dikembalikan.

Bagaimanapun, bilangan penerima bantuan tersebut akan diperincikan kemudian oleh kementerian kewangan dan pejabat perdana menteri.

Sumber peruntukan bagi bantuan tersebut juga masih belum diputuskan.

“[...] sama ada kita buat pinjaman atau kita guna peruntukan (lain) yang boleh kita dahulukan dalam tempoh terdekat.

“Tetapi kita (sudah) kenal pasti golongan sasaran yang perlu diberi bantuan segera. Kabinet (telah) bersetuju,” jelasnya lagi.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerima kritikan hebat apabila bantuan musim tengkujuh tidak disebutkan dalam pembentangan Belanjawan 2019 yang dibentangkan 2 November lalu.

Bantuan tersebut dianggap penting bagi meringankan beban golongan yang pendapatannya terjejas oleh ketibaan musim tengkujuh seperti petani dan nelayan.