26 kontraktor akan didakwa gagal patuhi peraturan keselamatan
Dua puluh enam kontraktor yang disifatkan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr Fong Chan Onn "terus-menerus ingkar" dalam meningkatkan ciri-ciri keselamatan di tapak pembinaan, akan didakwa di mahkamah tidak lama lagi.
Dua puluh enam kontraktor yang disifatkan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr Fong Chan Onn "terus-menerus ingkar" dalam meningkatkan ciri-ciri keselamatan di tapak pembinaan, akan didakwa di mahkamah tidak lama lagi.
Sambil menegaskan bahawa tindakan itu merupakan peringkat permulaan, Fong berkata langkah untuk mengambil tindakan undang-undang mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan itu dibuat berikutan siasatan pegawai kementerian di 301 tapak pembinaan sejak dua minggu lepas.
Fong berkata 26 kontraktor terbabit diberi perintah menghentikan kerja kali ketiga kerana melanggar peraturan keselamatan semasa pemeriksaan itu. Kerajaan sebelum ini memutuskan bahawa firma pembinaan yang menerima tiga perintah menghentikan kerja tiga kali berturut-turut akan menghadapi tindakan undang-undang.
Menurut laporan Bernama, daripada 26 kontraktor itu, lapan daripadanya di Kuala Lumpur, lima di Kedah, tiga di Johor, tiga di Sabah, masing-masing dua di Sarawak, Pulau Pinang dan Perak dan satu di Negeri Sembilan.
"Kita mahu memberi mesej keras kepada semua kontraktor, terutama mereka yang terbabit dalam pembinaan bangunan tinggi yang menjejaskan keselamatan awam, bahawa mereka mesti bejaga-jaga dan bertanggungjawab," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet kementerian di Putrajaya semalam.
Tindakan ke atas kontraktor yang ingkar itu diambil ekoran kematian tokoh korporat Dr Liew Boon Horng, 35, akibat ditimpa acuan besi yang jatuh ke atas keretanya dari tingkat 20 bangunan yang sedang dalam pembinaan di Sri Hartamas, Kuala Lumpur.
Fong berkata 301 tapak yang disiasat itu, sama ada diberikan perintah menghentikan kerja atau laporan yang tidak memuaskan semasa pemeriksaan sebelum itu.
Pemeriksaan keselamatan
Beliau juga berkata selain 26 kontraktor terbabit, 44 tapak lain didapati telah meningkatkan tahap keselamatan masing-masing manakala selebihnya belum menunjukkan perubahan memuaskan.
Sambil menyatakan lebih banyak pemeriksaan akan dijalankan, Fong berkata tumpuan kini kepada pembinaan bangunan tinggi di kawasan yang kerap dikunjungi ramai seperti tempat Liew terbunuh. Skop itu akan diperluaskan kemudian, katanya.
Fong juga berkata kementerian itu akan mengkaji cadangan meminda akta berkenaan bagi memastikan kontraktor melaksanakan pelan keselamatan di tapak kerja sebelum projek diluluskan.
Menteri itu juga berkata Kabinet hari Rabu meluluskan cadangan kementerian berkenaan untuk meminda Akta Kilang dan Mesin bagi membolehkan pemeriksaan berkanun ke atas pengesahan mesin-mesin dibuat secara penyumberan luar.
"Memandangkan pemeriksaan seperti itu memerlukan tahap kepakaran tertentu, kita mungkin perlu mendapatkan bantuan luar bagi memastikan keselamatan operasi mesin-mesin kita mematuhi standard antarabangsa," katanya.
Fong juga berkata kementerian itu kini dalam proses mewujudkan satu bahagian yang memberi tumpuan kepada kejuruteraan forensik bagi memudahkan siasatan terhadap kemalangan di tempat kerja.

