Beberapa IPT di AS terima emel, panggilan telefon ancaman bom
GLOBAL Beberapa institusi pengajian tinggi di seluruh Amerika Syarikat (AS) pada Khamis menerima emel dan panggilan telefon mengenai ancaman bom.
Menurut agensi berita Xinhua, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dalam satu kenyataan berkata pihak maklum mengenai perkara itu dan ancaman bom berlaku di beberapa bandar di seluruh negara.
"Kami sentiasa berhubung dengan pihak penguatkuasa undang-undang untuk membantu. Seperti biasa, kami menasihatkan orang ramai terus berjaga-jaga dan laporkan segera jika terdapat sebarang aktiviti mencurigakan," katanya.
Jabatan Polis New York dalam Twitter berkata pihaknya sedang memantau keadaan dan setakat ini ancaman itu dianggap tidak berbahaya.
CNN melaporkan masih tidak dapat dipastikan sama ada ancaman yang diterima di San Francisco, Universiti Washington di Seattle, Universiti Pennsylvania mempunyai kaitan.
"Kami terima maklumat beberapa bandar lain di seluruh AS menerima ancaman sama," kata Jabatan Polis San Francisco.
Universiti Washington mengeluarkan amaran yang menyebut "FBI menasihatkan tidak perlu percaya emel ancaman itu."
Sementara itu kenyataan pihak Universiti Pennsylvania mengatakan polis dengan bantuan FBI sedang menjalankan siasatan ke atas emel yang diterima beberapa individu.
Polis kemudian mengesahkan ancaman itu adalah palsu.
Terdahulu, ancaman bom palsu diterima Sekolah Tinggi Columbine di Colorado menyebabkan sekolah itu dan 23 sekolah lain berdekatan dikosongkan.
-- Bernama

