Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Bekas presiden Umno Najib Razak melahirkan kekecewaan selepas seorang demi seorang tokoh Umno mengumumkan keluar parti.

Najib berkata tidak adil bagi akar umbi Umno menyalahkan kepimpinan parti terhadap apa yang berlaku.

Sebaliknya, Najib menyifatkan tindakan keluar parti beramai-ramai itu sebagai proses pemutihan parti secara semula jadi.

“Kita tidak ada apa-apa lagi di Umno hari ini. Yang ada hanya kain di tubuh dan hati membara.

“Kita berbekalkan semangat perjuangan, persaudaraan dan yang paling penting - keikhlasan untuk rakyat dan kesayangan mereka terhadap kita.

“Dan memang pun itu asas penubuhan, perjuangan dan kekuatan Umno. Bagi saya, tidak adil juga jika kepimpinan Umno hari ini dipersalahkan atas segalanya” katanya.

Hari ini, bekas setiausaha agung Umno Radzi Sheikh Ahmad disahkan keluar dari parti tersebut dan menyertai Bersatu.

Anggota Parlimen Tanah Merah Ikmal Hisham Abd Aziz pula menjadi pemimpin terbaru - setakat ini - mengumumkan keputusannya meletak jawatan dalam Umno dan meninggalkan parti berkenaan.

Banyak lagi pemimpin Umno dispekulasi keluar Umno hari ini.

Menurut Najib lagi, ketika beliau menerajui kepimpinan Umno, dia telah memberi bantuan dan keutamaan dari segi karier politik mereka.

“Kerana kita percaya dan yakin walau apa pun berlaku mereka akan terus menjadi nakhoda kapal dan memimpin akar umbi Umno.

“Sudah tentu saya kecewa.

“Tetapi apakah daya kita kini jika perjuangan Umno tidak lagi dalam minda dan hati mereka,” katanya.

Anggota parlimen Pekan berkata, dalam keadaan Umno menjadi pembangkang, pihaknya menggalakkan akar umbi bersuara demi membangunkan parti.

“Kita masih diberi amanah oleh rakyat untuk menjaga kepentingan mereka.

“Berikanlah keyakinan semula kepada rakyat bahawa kita mampu dan berkebolehan, kita benar-benar bangkit untuk rakyat.

“Jangan kita lupa perjuangan Umno,” katanya.

Lihat Komen
ADS