Kekalahan BN pada pilihan raya umum lalu boleh berlaku kepada Amanah jika anggota-anggotanya 'mabuk' kuasa dan sombong dengan kedudukan mereka, kata Mohamad Sabu.

"Kita sendiri menyaksikan bagaimana dengan kekuasaan Allah, kerajaan Barisan Nasional yang begitu kuat dan berkuasa sekian lama, akhirnya tumbang di tangan rakyat.

"Jadi tidaklah mustahil bagi kita yang baru bertunas untuk dijatuhkan pula oleh rakyat.

"Sedarlah, kekuasaan yang kita miliki hari ini bukanlah milik mutlak melainkan ia adalah pinjaman semata-mata," katanya.

Presiden Amanah yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu berkata demikian  ketika ucapan dasar pada konvensyen parti itu hari ini.

Memetik ayat al-Quran, beliau mengingatkan perwakilan bahawa kuasa diberikan merupakan ujian daripada Allah dan mereka perlu memikul beban amanah serta tanggungjawab kepada rakyat.

"Jangan nanti kita mabuk mengecap kuasa dalam nikmat kedudukan dan kesenangan, bimbang nanti kita hanyut dan akhirnya tumbang dengan penuh kehinaan.

"Kita sampai ke tahap ini atas komitmen yang tinggi, pengorbanan yang bukan sedikit dan pegangan idealisme dan prinsip yang tegas.

"Akan tetapi pada hari ini, kita berdepan dengan ujian yang berbeza. Kuasa dan kedudukan mampu membutakan hati kita," katanya.

Mat Sabu berkata sejarah membuktikan tiada apa yang kekal, termasuk kerajaan dan pemimpin yang naik dan turun bersilih ganti.

"Sesebuah kerajaan yang bermula dengan kebaikan tidak mustahil akhirnya akan hancur kerana kelemahan dan kejahatan mereka sendiri.

"Lihatlah bagaimana sejarah kerajaan Islam di Sepanyol yang akhirnya runtuh angkara pertelingkahan sesama sendiri.

"Kuasa yang gagal diurus dengan baik akhirnya hanya akan menimbulkan rasa sombong dan angkuh pada yang lemah, dan akhirnya hanya akan mewujudkan penindasan dan salah guna kuasa," katanya.