Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menarik balik perkenan yang pernah diberikan kepada Pengarah Eksekutif, Majlis Ekonomi Halal dan Keusahawanan Ummah Malaysia Dr Helmi Ibrahim untuk menganjurkan Festival Seri Menanti.
Setiausaha Sulit baginda Mohd Nizam Mohd Akhir dalam kenyataan hari ini berkata Tuanku Muhriz turut menitahkan bahawa baginda bukan Penaung Diraja Festival Seri Menanti dan tidak pernah melantik mana-mana individu atau institusi untuk menjalankan kutipan derma dan tajaan bagi menjayakan program tersebut.
"Di samping itu, tuanku juga tidak pernah bertitah untuk menganugerahkan darjah kebesaran, bintang dan pingat kepada sesiapa yang terlibat dalam penganjuran Festival Seri Menanti," kata Mohd Nizam.
Beliau berkata semua institusi dan orang ramai yang pernah dihubungi oleh mana-mana pihak berkaitan perkara tersebut dinasihatkan membuat laporan polis kerana ia merupakan satu penipuan.
-- Bernama
