Pemimpin keluar Umno: Ini bersifat sementara, kata Zahid
Ketika Umno sedang menyaksikan satu demi satu pemimpin dan wakil rakyatnya meninggalkan parti, presidennya Ahmad Zahid Hamidi cuba menenangkan anggota parti dengan menyifatkan ia hanya bersifat sementara.
"Ahli-ahli Umno tidak perlu panik. Ini mungkin harga yang terpaksa kita bayar, bila kita ingin kembali kepada perjuangan Umno yang sebenarnya untuk memartabatkan agama dan bangsa.
"Biarpun terdapat yang tinggalkan Umno, kita percaya ianya tidak menjejaskan sokongan akar umbi. Ini bersifat sementara," katanya menerusi Twitter hari ini.
Awal hari ini, Anggota Parlimen Tanah Merah Ikhmal Hisham Abd Aziz mengumumkan meletakkan jawatan sebagai ketua bahagian kawasannya.
Pada hari yang sama, lima lagi anggota parlimen Umno turut mengikut jejak Ikhmal meninggalkan parti.
Mereka ialah Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Latiff Ahmad (Mersing), Shahbudin Yahaya (Tasek Gelugor), Hamzah Zainuddin (Larut) dan Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam).
Dua hari lalu, lima anggota parlimen, sembilan anggota dewan undangan negeri (Adun) dan dua senator dari Umno Sabah meninggalkan parti untuk menjadi anggota politik bebas.
Semalam pula, bekas ketua puteri Umno yang juga merupakan anggota parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin mengumumkan menyertai Bersatu selepas keluar Umno pada 1 Julai lalu.
Perkembangan terbaru ini bererti Umno kini hanya memegang 38 kerusi parlimen berbanding 54 yang dimenangi pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu.

