Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
36 MP BN tandatangani surat sokong Mahathir
Diterbitkan:  Dec 14, 2018 7:04 PM
Dikemaskini: 4:39 PM

Seramai 36 anggota parlimen BN telah menandatangani surat sebagai tanda sokongan kepada perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad sejak sebulan lalu, kata anggota parlimen Larut, Hamzah Zainuddin.

Hamzah dalam satu temubual ekslusif dengan NSTP hari ini berkata langkah itu tidak dibuat tergopoh-gopoh.

Sebaliknya, beliau yang turut berbuat demikian menegaskan keputusan itu dibuat bersama anggota Parlimen BN yang lain dan mengambil masa hampir sebulan.

Menurut Hamzah, seramai 33 anggota parlimen Umno, seorang dari Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan dua dari MIC menandatangani sokongan tersebut.

"Keputusan ini bukan buat sehari dua, tetapi sudah hampir sebulan yang lalu.

“Kumpulan yang tandatangan ini ikhlas mahu pastikan kestabilan kerajaan sekarang dalam memastikan tidak ada pihak gunakan parlimen untuk jatuhkan PM sebab kita ada dengar ura-ura.

“Kita beri sokongan kepada PM untuk memastikan kestabilan politik. Kita tidak mahu ada unsur-unsur perpecahan sehingga rakyat keliru, inikan pula pelabur luar kerana bila pelabur lihat politik tidak stabil, mereka tidak mahu melabur dalam negara ini," katanya.

Menurut Hamzah politik yang tidak stabil akan memberikan kesan lebih besar terutama kepada rakyat.

"Itu sebab kita mahu bagi kestabilan dan kita menyokong PM untuk meneruskan kepemimpinannya. Semua ini demi kepentingan negara, rakyat supaya kita dilihat sebagai sebuah negara yang ada masa depan,” katanya.

Beliau juga memberi jaminan akan menyokong Dr Mahathir jika Perdana Menteri menerima desakan daripada mana-mana pihak.

Ditanya adakah Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tahu bahawa mereka beralih sokongan kepada Dr Mahathir, Hamzah memberitahu bekas ‘bos’ tidak tahu.

Katanya, beliau ‘bersepakat’ bersama yang lain untuk tidak memaklumkan perkara itu kepada Ahmad Zahid.

Beliau juga menegaskan, tiada syarat yang dikenakan dalam proses pengalihan sokongan daripada Ahmad Zahid kepada Dr Mahathir.

Lihat Komen
ADS