Kit Siang: Bekas ahli Umno boleh masuk PH, tapi...
Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berkata bekas ahli Umno boleh menyertai parti dalam Pakatan Harapan (PH) namun mereka perlu bersedia menanggung hukuman sekiranya pernah terlibat melakukan kesalahan sebelum ini.
Jelas Lim, mereka tidak boleh terlepas daripada sebarang tindakan undang-undang jika pernah melakukan kesalahan ketika bersama BN meskipun menyertai PH.
Selain itu, tambah Lim yang juga merupakan anggota parlimen Iskandar Puteri, mereka yang ingin menyertai PH juga perlu menunjukkan komitmen serta menyokong usaha kerajaan.
"Ya (boleh menyertai PH), tetapi mereka perlu menyokong usaha transformasi Malaysia daripada negara kleptokrasi global kepada negara mengutamakan integriti.
"Sudah tentu mereka yang terbabit dengan rasuah dan salah laku jenayah perlu membayarnya (tidak terlepas hukuman)," katanya.
Lim sebelum itu menghadiri Majlis Pelancaran Buku 100 Days, 100 Pictures di ibu negara petang tadi.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab tindakan sekumpulan wakil rakyat Umno yang bertindak keluar parti dan menyertai Bersatu serta menyokong Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam pada itu Lim berkata, bekas pemimpin Umno itu juga perlu mengaku secara terbuka jika mereka gagal bertindak dalam menangani skandal 1MDB dan bersubahat dengan bekas perdana menteri, Najib Razak.
Gelombang wakil rakyat Umno keluar parti bermula pada 12 Dis lalu apabila 11 anggota Parlimen dan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) mengisytihar sebagai wakil rakyat bebas menyokong Mahathir.
Mereka termasuk Anggota Parlimen Beluran, Ronald Kiandee; Anggota Parlimen Kudat, Abdul Rahim Bakri; Anggota Parlimen Beaufort Azizah Mohd Dun dan Anggota Parlimen Libaran, Zakaria Mohd Edris.
Ia disusuli dengan penyertaan bekas ketua puteri Umno sehari selepas itu, Mas Ermiyati Samsudin yang juga anggota Parlimen Masjid Tanah menyertai Bersatu.
Hari ini enam lagi wakil rakyat Umno bertindak keluar parti membabitkan anggota Parlimen Tanah Merah, Ikmal Hisham Abd Aziz.

Selain Ikmal lima yang lain ialah Anggota Parlimen Hulu Terengganu, Rosol Wahid, Latiff Ahmad (Mersing), Shahbudin Yahaya (Tasek Gelugor), Hamzah Zainuddin (Larut), Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam).
'Kita bukan orang suci'
Sementara itu Lim berkata, penerimaan bekas wakil rakyat Umno tidak seharusnya dilihat sebagai merendahkan harapan rakyat yang mahu kerajaan baru menegakkan integriti.
“Kita bukan orang suci, kita semua melakukan kesilapan. Jika pada masa lalu (ada melakukan kesilapan), mereka perlu menyatakan secara terbuka," katanya.
Ditanya sama ada PH boleh menerima kemasukan Salleh Said Keruak dan Pandikar Amin Mulia yang mempertahankan Najib sebelum ini, Lim dengan ringkas berkata PH perlu melihat prestasi bekas Speaker Dewan Rakyat dan bekas menteri komunikasi dan multimedia itu.
Mengulas mengenai laporan kononnya Nazri Aziz berusaha membawa Umno bekerjasama dengan PKR dan DAP, Lim enggan mengulas lanjut dan menganggapnya sebagai spekulasi.

