Kepimpinan PKR Negeri Sembilan akan disusun semula
PKR Negeri Sembilan akan menyusun semula kepimpinannya dalam usaha memperkukuhkan parti itu di negeri berkenaan, kata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Negeri Sembilan Aminuddin Harun.
Beliau yang juga menteri besar Negeri Sembilan turut mengucapkan terima kasih atas keyakinan Presiden PKR Anwar Ibrahim kepada beliau atas pelantikan sebagai pengerusi MPN Negeri Sembilan.
"Saya akan tunaikan tanggungjawab dengan terbaik....insya-Allah," katanya kepada pemberita selepas majlis Penyampian Bantuan Persekolahan Sesi 2019 Asnaf Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Daerah Seremban hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pelantikannya sebagai pengerusi MPN Negeri Sembilan yang baharu seperti yang diumumkan PKR semalam.
Turut hadir ialah Pengerusi MAINS Mohamed Husein, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan Mohd Zaidi Ramli dan Pengurus Besar Pusat Zakat Negeri Sembilan Nor Azmi Musa.
Ditanya kemungkinan ada perubahan kepimpinan di peringkat negeri ini, beliau berkata itu perkara biasa dalam struktur baharu sebab banyak ketua-ketua cabang yang baharu.
Sementara itu, ketika berucap pada majlis itu beliau menyeru semua asnaf yang menerima bantuan persekolahan itu supaya dapat memanfaatkan sepenuhnya bantuan yang diberikan untuk tujuan pendidikan anak-anak mereka.
Katanya jangan sesekali menjadikan kemiskinan sebagai salah satu alasan untuk tidak menghantar anak-anak ke sekolah bagi tujuan mendapatkan pendidikan.
Sebanyak 176 orang anak asnaf yang masih bersekolah di peringkat sekolah rendah, menengah dan vokasional di daerah Seremban menerima bantuan persekolahan itu yang melibatkan peruntukan berjumlah RM112,650 dari peruntukan dana zakat bertujuan untuk meringankan bebanan para asnaf.
Bantuan itu meliputi pakaian sekolah, bantuan baucar kasut sekolah dan bantuan tunai untuk awal persekolahan tahun depan.
Di samping itu, MAINS turut menyediakan kelengkapan pakaian sekolah anak-anak asnaf seperti dua pasang baju kemeja untuk pelajar lelaki berserta seluar, dua pasang baju kurung dan tudung untuk pelajar perempuan, sepasang baju Melayu lelaki dan dua pasang kasut berserta stokin.
- Bernama

