Anwar: Jawatan Pengerusi PKR S'wak diumum esok
Jawatan Pengerusi PKR Sarawak kemungkinan akan diumumkan esok selepas ketua-ketua cabang mencapai keputusan sebulat suara pada mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Mesyuarat khas itu dihadiri oleh 27 daripada 29 ketua cabang di negeri itu yang diadakan di Hotel Hilton di Kuching.
Bagaimanapun, Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian, yang juga ketua cabang Lawas, dan seorang lagi ketua cabang, tidak menghadiri mesyuarat tersebut.
Anwar berkata beliau menurunkan kuasa kepada 29 ketua cabang di negeri itu untuk memilih Pengerusi PKR Sarawak walaupun presiden parti mempunyai kuasa untuk memilih.
“Ada beberapa perkara lagi perlu saya lihat, seboleh-bolehnya saya akan umumkan esok, secepat yang mungkin, lazimnya saya akan minta keputusan majoriti setiap negeri walaupun kuasa ada pada presiden.
“Tidak dinafikan semasa pertandingan PKR sebelum ini agak sengit dan ketua-ketua yang muda agak lantang bersuara.
“Apa pun kita kena maju terus, fikir kepentingan parti. Justeru mesyuarat hari ini menyaksikan keputusan sebulat suara,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut.
Anwar berkata beliau mempengerusikan mesyuarat itu bagi mendengar masalah dan isu berbangkit termasuk mengikut keputusan majoriti ketua cabang bagi memilih Pengerusi PKR Sarawak.
Jelas beliau, akan ada suatu petanda aras yang baharu dan positif bagi PKR di negeri Sarawak.
“Keutamaan cabang adalah mengumpulkan jentera bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang. Positif, yakin dan sekiranya dapat disusun dengan baik, kita mampu membuat perubahan,” ujarnya.
Mengenai ketidakhadiran Baru, yang juga Menteri Kerja Raya dan Anggota Parlimen Selangau, Anwar berkata beliau memang dimaklumkan bahawa pengerusi negeri itu menghadiri majlis rasmi yang tidak dapat dielakkan di sebuah gereja.
Media sebelum ini melaporkan spekulasi kononnya perebutan jawatan pengerusi PKR Sarawak melibatkan Baru, Anggota Parlimen Miri, Dr Michael Teo dan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shein yang mendapat restu kepimpinan pusat.
Mengulas berkenaan Anggota Parlimen dari Umno yang keluar parti sejak beberapa hari lalu, Anwar berkata Pakatan Harapan (PH) berpegang teguh kepada prinsip dan integriti.
“Justeru, saya berhati-hati jika ada ahli Umno yang menyertai, saya minta mereka kekalkan kedudukan dahulu dan bincang dengan lebih teliti, supaya persepsi rakyat tidak berganjak, selari dengan prinsip penubuhan PH.
“Kita sebuah negara yang demokrasi, masing-masing berhak tetapi kita kena pertahankan integriti tersebut,” katanya.
- Bernama

