Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata pertemuan beliau dan beberapa pimpinan kanan Umno lain dengan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad ada menyentuh pelbagai perkara.

Beliau berkata perkara berkenaan termasuk kemungkinan penyatuan antara parti itu dan Bersatu serta senario keluar parti.

“Saya tak nafikan perbincangan itu, tetapi berbagai topik (lain), khususnya tentang kelangsungan Melayu dan Islam.

“Macam-macam kita bincangkan. Boleh jadi kita bincangkan penyatuan, tentang penyatuan antara Bersatu dan Umno,” katanya seperti dilapor FMT.

Bagaimanapun, Mohamad menegaskan beliau sendiri tidak berhasrat keluar Umno seperti didakwa Mahathir.

“Saya tidak pernah cakap (keluar Umno). Saya tidak akan keluar Umno, saya tetap dengan Umno," katanya dipetik sebagai berkata.

Mohamad yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan semalam dipetik BH Online sebagai berkata pertemuan tersebut diadakan untuk membincangkan saranan Mahathir yang mahukan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi membubarkan Umno.

Bagaimanapun, Mahathir hari ini mendakwa pertemuannya dengan beberapa pemimpin kanan Umno yang tular melalui sekeping gambar itu bukan berkaitan pembubaran parti.

Sebaliknya, Mahathir berkata 'rombongan' tersebut datang untuk memaklumkan rancangan mereka meninggalkan Umno.

"Mereka datang berjumpa saya dan beritahu yang mereka akan meninggalkan Umno.

"Mereka mahukan nasihat saya. Cuma itu, tak ada yang lain," kata Mahathir.

Selain Mohamad, tokoh yang menyertai makan malam itu ialah bekas setiausaha agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor, Hamzah Zainuddin, Shahidan Kassim dan Noh Omar.

Untuk rekod, Hamzah yang juga merupakan anggota parlimen Larut sudah mengesahkan keluar dari Umno hari ini.