Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan segala bayaran gaji bagi pengawal keselamatan yang berkhidmat di Hospital Putrajaya adalah di bawah tanggungjawab sebuah syarikat keselamatan.
Ketua Setiausahanya Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dalam kenyataan semalam berkata pihaknya telah menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Kawalan Keselamatan (Tanpa Senjata), Bersenjata dan Tunai dalam Transit bagi tempoh dua tahun mulai 1 Jun 2017 hingga 1 Jun 2019 dengan syarikat berkenaan.
"Berdasarkan perjanjian tersebut, syarikat berkenaan bertanggungjawab untuk membayar gaji, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bayaran kerja lebih masa dan sebagainya kepada pengawal keselamatan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa, termasuk Akta Kerja 1955 (Akta 265) dan apa-apa perundangan subsidiari dibuat bawah undang-undang berkenaan," menurut kenyataan itu.
Dr Chen berkata pihaknya telah membuat bayaran perkhidmatan kawalan keselamatan kepada syarikat tersebut bermula 1 Jun 2017 hingga 30 Nov 2018 dan tiada bayaran tertunggak sepanjang tempoh itu serta tidak menerima sebarang aduan mengenai pengawal keselamatan tidak dibayar gaji selama tiga bulan.
Beliau berkata perjanjian itu telah ditamatkan berkuatkuasa pada 16 Dis lepas melalui Notis Penamatan Perkhidmatan bertarikh 12 Dis lalu kerana pelanggaran syarat perjanjian oleh syarikat berkenaan.
Terdahulu, portal tempatan melaporkan bahawa Parti Sosialis Malaysia (PSM) semlam mendakwa kakitangan kontrak (pengawal keselamatan) di Hospital Putrajaya tidak menerima gaji sejak September lepas.
-- Bernama
