Banjir di daerah Kuantan semakin baik apabila sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup lewat malam tadi, menjadikan hanya enam yang masih beroperasi pagi ini.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Karang yang menempatkan 63 mangsa daripada 21 keluarga ditutup pada pukul 11.45 malam.

Perkembangan itu menjadikan seramai 356 mangsa daripada 95 keluarga masih berada di PPS, iaitu SK Cherating (122 mangsa, 33 keluarga), SK Sungai Ular (25 mangsa, tujuh keluarga) dan SK Kempadang (77 mangsa, 19 keluarga).

PPS lain ialah Dewan Orang Ramai Balok (29 mangsa, lima keluarga), SK Sungai Isap Murni (40 mangsa, 10 keluarga) dan SK Beserah (63 mangsa, 21 keluarga).

BANJIR DI T'GANU TAK BERUBAH

Manakala jumlah penduduk terjejas banjir di Terengganu kekal 142 orang daripada 31 keluarga setakat 8 pagi ini.

Menurut portal Info banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat, hanya satu daerah sahaja masih dilanda banjir iaitu di Kemaman.

"Ketika ini, hanya empat pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di Kemaman iaitu di Balai Raya Padang Kemunting (15 orang), Dewan Orang Ramai Teladas (42 orang), Masjid Batu 16 Tebak (35 orang) dan Dewan Orang Ramai Batu 14 (50 orang)," menurut portal itu.

-- Bernama