Bersatu terbuka menerima mana-mana daripada pembangkang yang menyesal kerana menyokong "pemimpin kleptokrat" bawah pentadbiran lalu, kata presidennya Muhyiddin  Yassin.

Namun beliau tetap menegaskan mereka akan melalui proses penilaian terlebih dahulu sebelum kemasukan mereka diterima.

“Bersatu tidak mempunyai halangan untuk menerima permohonan keahlian daripada bekas ahli mana-mana parti pembangkang .

“(Tapi) dengan syarat mereka telah melepasi proses tapisan yang ditetapkan serta insaf dan sedar atas kesilapan mereka menyokong pemimpin kleptokrat sebelum ini,” kata Muhyiddin dalam kenyatannya hari ini.

Namun beliau berkata Bersatu juga tidak terikat untuk menawarkan apa-apa jawatan kepada mereka.

Semalam menyaksikan Anggota Parlimen Tanah Merah Ikhmal Hisham Abd Aziz mengumumkan meletakkan jawatan sebagai ketua bahagian kawasannya.

Pada hari yang sama, lima lagi anggota parlimen Umno turut mengikut jejak Ikhmal meninggalkan parti.

Mereka ialah Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Latiff Ahmad (Mersing), Shahbudin Yahaya (Tasek Gelugor), Hamzah Zainuddin (Larut) dan Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam).

Tiga hari lalu, lima anggota parlimen, sembilan anggota dewan undangan negeri (Adun) dan dua senator dari Umno Sabah meninggalkan parti untuk menjadi wakil rakyat bebas.

Ketua puteri Umno yang juga merupakan anggota parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin mengumumkan menyertai Bersatu selepas keluar Umno pada 1 Julai lalu.

Perkembangan terbaru ini bererti Umno kini hanya memiliki 38 kerusi parlimen berbanding 54 yang dimenangi pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu.

Bagaimanapun Muhyiddin berkata mereka yang terlibat dengan rasuah, salah guna kuasa dan disabit bersalah terhadap tuduhan jenayah tidak akan diterima.

“Penyertaan dalam Bersatu tidak bermakna seseorang individu boleh terlepas daripada tindakan undang-undang jika terdapat kesalahan yang dilakukan pada masa lalu,” katanya.

Anggota Parlimen Pagoh itu turut menegaskan Bersatu mempunyai dasar, peraturan dan mekanisme sendiri dalam mempertimbangkan kemasukan ahli-ahli baharu sepertimana yang diperuntukkan oleh perlembagaan parti.

“Sebagai sebuah parti yang demokratik, Bersatu bersedia menerima keahlian mana-mana individu selagi ianya selari dengan dasar, peraturan dan mekanisme yang telah ditetapkan oleh parti,” katanya.