Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

KONVENSYEN AMANAH | Wakil Pemuda Amanah Mohd Ammar Atan nampaknya mempunyai cara tersendiri bagi menggambarkan kekecewaan rakyat terhadap manifesto-manifesto Pakatan Harapan (PH) yang belum dapat dilaksanakan.

Dan cara itu hanya memerlukan sekeping kertas.

“Tuan-tuan, bayangkan kalau inilah Buku Harapan yang kita janjikan kepada rakyat. Apa perasaan rakyat? Apa perasaan rakyat?

“Mereka kemukkan manifesto rakyat ini!” katanya sambil mengoyakkan sekeping kertas yang dipegangnya ketika berucap di Konvensyen Nasional Amanah 2018 di Ipoh hari ini.

“Itulah bagaimana perasan rakyat apabila melihat banyak janji yang dijanjikan oleh kita tak mampu dilaksanakan,” sambungnya lagi disambut oleh sorakan ratusan peserta konvensyen.

Antara janji manifesto yang belum dilaksanakan sejak PH mentadbir ialah penangguhan pinjaman PTPTN dan penghapusan tol secara berperingkat.

Namun hanya isu PTPTN yang termasuk dalam janji seratus hari manakala penghapusan tol dalam masa lima tahun.

Mohd Ammar berkata lagi, biarpun Amanah telah berjaya menjadi parti kerajaan di dalam PH, soal dasar dan janji dalam manifesto tidak harus dilupakan, sebaliknya sentiasa menjadi keutamaan untuk dilaksanakan.

Bagaimanapun, katanya, beliau menaruh sepenuh keyakinan kepada barisan kepimpinan PH untuk melaksanakan janji-janji yang telah dikemukan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 yang lalu.

“Kita yakin dengan kepimpinan Dr Mahathir Mohamad, dengan timbalan perdana menteri, dengan Abang Mat (Mohamad Sabu), dan kepimpinan (lain) di atas bahawa janji yang dijanjikan dalam manifesto PH pasti akan dapat dilaksanakan.

“Ini yang kita mahu, sebab dalam PRU-15 akan datang kita akan dituntut semula ke mana janji kita," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS