Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tuan Ibrahim: Bekas MP Umno reka alasan keluar parti

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan alasan yang diberikan sejumlah pemimpin dan anggota parlimen yang bertindak keluar Umno baru-baru ini sebagai rekaan semata-mata.

Beliau merujuk kenyataan sejumlah yang berbuat demikian bahawa langkah mereka keluar Umno dan mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Dr mahathir Mohamad demi rakyat di kawasan masing-masing.

"Mereka sebut keluar parti untuk menunaikan tanggungjawab kepada rakyat (di kawasan masing-masing), tetapi rakyat tak setuju.

"Jadi ia ternyata alasan yang mereka ada-adakan," katanya ketika ditemui pemberita di program di Kubang Kerian, Kelantan, hari ini.

Beliau mengulas tindakan sejumlah pemimpin dan 16 anggota parlimen Umno yang memutuskan untuk keluar parti itu baru-baru ini.

Umno yang merupakan parti terbesar di Dewan Rakyat sebelum ini - dengan 54 kerusi parlimen - kini tinggal 38 kerusi, di belakang PKR dan DAP.

Turut keluar ialah bekas menteri Hamzah Zainuddin. Beliau juga memberi amaran lebih ramai yang akan berbuat demikian jika Ahmad Zahid Hamidi tidak meletakkan jawatan sebagai presiden Umno.

Tuan Ibrahim berkata lagi, apa yang menimpa Umno itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia sebuah parti yang besar - dengan anggota hampir tiga juta dan aset bernilai jutaan ringgit.

"Sebenarnya Umno ada kekuatan...keadaan ini sepatutnya tidak berlaku.

"Saya akui pemimpin mereka dalam persimpangan, mereka dihadapkan ke mahkamah dengan pelbagai tuduhan dan belum pulih daripada kekalahan (PRU). Bila ini datang serentak, pimpinan kadang-kadang hilang fokus," katanya lagi.

Beliau bagaimanapun berkata PAS terbuka jika ada di kalangan mereka yang mahu menyertai parti itu.

"PAS sentiasa buka pintu kepada sesiapa yang mahu bersama dan memperjuangkan hak rakyat. Kita terbuka dan mengalu-alukan sesiapa yang mahu bersama PAS, termasuk anggota parlimen, Adun dan anggota biasa.

"Cuma kita tidak akan melindungi sesiapa jika (individu itu) terlibat dengan rasuah. Itu kerajaan perlu ambil tindakan," katanya ketika ditemui pemberita di program di Kubang Kerian, Kelantan, hari ini.

Lihat Komen
ADS