Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengesahkan pilihan raya kecil akan diadakan untuk kerusi parlimen Cameron Highlands.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata ia selepas tiada rayuan yang difailkan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan kemenangan BN pada PRU ke-14.

"Sehingga tamat tempoh rayuan pada 14 Disember 2018 seperti yang ditetapkan oleh Seksyen 36A Akta Kesalahan Pilihan Raya, tiada sebarang rayuan difailkan di Mahkamah Persekutuan atau dimaklumkan kepada SPR.

"Sehubungan itu, selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan, SPR akan mengisi kekosongan kerusi tersebut dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan yang ditentukan oleh SPR iaitu mulai 15 Disember 2018," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhar berkata speaker Dewan Rakyat akan menerima pemakluman rasmi Isnin ini.

Katanya lagi, SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan pelaksanaan PRK Cameron Highlands pada tarikh yang akan ditetapkan nanti.

Seksyen 36 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 membenarkan hakim Mahkamah Pilihan Raya untuk mengesahkan atau membatalkan keputusan, manakala Seksyen 36A membenarkan rayuan dibuat dalam masa 14 hari.

Pada 30 November lalu, mahkamah itu mengisytiharkan kerusia parlimen Cameron Highlands sebagai kosong selepas memutuskan penyandangnya terlibat dalam membeli undi.

Pada PRU lalu, C Sivarraajh daripada MIC menewaskan empat calon lain, iaitu daripada DAP, PAS, PSM dan Berjasa.

Presiden MIC S Vigneswaran berkata partinya tidak akan memfailkan rayuan susulan keputusan itu dan menyerahkan kepada rakyat untuk memutuskannya dalam PRK.