Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata untuk mewujudkan perkhidmatan rawatan yang lebih baik bagi menggantikan Klinik 1Malaysia yang disifatkannya sebagai program 'mi segera' - dilaksanakan secara tergesa-gesa dan tanpa rancangan rapi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab kenyataan bekas Perdana Menteri Najib Razak yang kecewa terhadap penutupan 34 buah Klinik 1Malaysia.

"BN sudah terlepas peluang (untuk buat yang terbaik). Kita tahu klinik 1Malaysia dibuat tergesa-gesa. Kita ingin tamatkan program mi segera seperti ini.

"Kita mahu lakukan lebih baik kepada rakyat, terutama yang berpendapatan rendah," katanya ketika ditemui pemberita di Konvensyen Amanah 2018 di Ipoh, hari ini.

Dalam hantaran di Facebook semalam, Najib mempersoalkan penutupan sejumlah Klinik 1Malaysia yang menurut Timbalan Menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye tidak efektif secara kos.

"Hanya kerana kerajaan tanggung RM18 kamu nak tutup klinik? Saya dipersalahkan kerana memberi subsidi kesihatan kepada rakyat," katanya.

Zulkefly sekali lagi menegaskan antara faktor 34 daripada 347 Klinik 1Malaysia ditutup kerana beberapa faktor - bukannya berkaitan kos saja - antaranya mempunyai kurang 40 pesakit sehari, atau terletak lima kilometer daripada klinik kesihatan sedia ada.

"Jika Klinik 1Malaysia itu sudah tidak munasabah dari segi (memberikan) rawatan yang baik kepada rakyat, kami terpaksa tutup.

“Kita ingin beritahu bekas perdana menteri, kerajaan yang sangat peka dengan rakyat, dan akan jaga kesihatan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah,” tambahnya lagi.

Bukan sebab kos saja

Beliau bagaimanapun menegaskan klinik yang terletak berhampiran projek perumahan rakyat (PPR) tidak akan ditutup.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan akan meningkatkan perkhidmatan di klinik yang bakal menggantikan Klinik 1Malaysia.

"Kami sedang merancang melaksanakan klinik yang lebih baik menggantikan Klinik 1Malaysia, yang ada doktor, farmasi dan kebolehan diagnostik ringkas.

"Jika pesakit tak dapat berjumpa doktor (seperti di Klinik 1Malaysia), kita tak dapat menyaring penyakit tidak berjangkit seperti ipertensi.

"Sebab itu kita harus tambah baik klinik ini. (Isu ini) bukan kerana kos semata-mata," katanya lagi.

Sebelum ini beliau pernah mengumumkan penukaran Klinik 1Malaysia kepada Klinik Komuniti dengan penambahan pekerja dan kelengkapan.