Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Najib, Rosmah nak saman MP Kepong RM100 juta
Diterbitkan:  Dec 15, 2018 4:53 PM
Dikemaskini: 8:53 AM

Bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor berhasrat untuk menyaman Anggota Parlimen Kepong Lim Lip Eng sebanyak RM100 juta atas dakwaan fitnah.

Lim bagaimanapun berkata beliau tidak akan menarik balik kenyataan tersebut atau memohon maaf kepada pasangan tersebut, sebaliknya meminta hal itu dibicarakan di mahkamah.

Malaysiakini telah melihat surat tuntutan yang dihantar oleh firma perundangan pasangan itu, Azharudin & Associates, yang menyebut bahawa Lim kononnya memberitahu media di parlimen bahawa pasangan itu mempunyai hubungan rapat dengan syarikat swasta yang didakwa mendapat tiga siri khas nombor pendaftaran kenderaan dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Surat itu memetik kenyataan Lim dari video Star TV Online pada 3 Disember, 2018, dengan tajuk "MP persoal ‘layanan khusus’ yang diberikan kepada unit propaganda BN”.

Firma itu juga menuntut supaya Lim menarik balik kenyataan itu dan meminta maaf dalam masa tujuh hari dengan memberi jaminan bertulis supaya tiada sebarang kenyataan atau pendedahan berhubung perkara itu dibuat pada masa akan datang dan tuntutan kerugian berjumlah RM100 juta.

Tidak akan tarik balik kenyataan

Mengulas perkara itu, dalam sidang medianya hari ini Lim berkata firma berkenaan telah menghantar surat tuntutan itu ke pusat khidmatnya, semalam.

"Saya tidak akan minta maaf kepada bekas perdana menteri dan isteri dan tak ada duit mahu bayar RM100 juta jadi saya minta kes ini dibicarakan.

"Saya tidak akan menarik balik (kenyataan itu) atau minta maaf kepada mantan perdana menteri dan isteri.

"Sudah tentu saya tidak mampu membayar jumlah (RM100 juta) seperti itu. Saya tidak mempunyai pilihan melainkan membuktikan kebenaran saya di mahkamah apabila tiba masanya.

"Saya cuma nak kata, adakah pasangan itu memerlukan RM100 juta (yang dituntut) supaya dapat membayar wang ikat jamin mereka?” Soal Lim.

Lihat Komen
ADS