KONVENSYEN AMANAH | Seorang perwakilan Amanah hari ini menggesa pemimpin parti itu yang berada dalam Kabinet perlu berani membantah apa yang disifatkannya sebagai obsesi Dr Mahathir Mohamad terhadap kereta nasional ketiga.

Wakil Pemuda Amanah Nik Abdul Razak Nik Md Ridzuan berkata rancangan kereta nasional ketiga bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk membina semula ekonomi dan institusi negara.

Beliau berkata walaupun idea itu mendapat penentangan meluas rakyat, tiada seorang pun anggota dalam kerajaan termasuk daripada Amanah yang berkata apa-apa kepada Mahathir.

"(Harapan) mengatakan hutang negara kita RM1 trilion, tetapi pada masa sama Dr Mahathir mengumumkan tentang kereta nasional ketiga.

"Kita tahu (Menteri Kewangan) Lim Guan Eng berkata projek ini, jika ia dijalankan, akan menjadi sebuah pelaburan swasta. Tetapi kerajaan telah mengatakan sejumlah besar wang akan disalurkan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Nik Abdul Razak

"R&D untuk kereta baru bukan memakan ratus ribu atau ratus juta, tetapi bilion ringgit. Di sosial media kita lihat daripada sepuluh (respons), sembilan yang membantahnya.

"Idea ini tidak dapat dipertahankan. Tetapi saya lihat dalam PH, selain segelintir yang tiada jawatan, tiada pemimpin kita yang bantah atau paling kurang beri pandangan berbeza daripada perdana menteri," katanya ketika membahaskan usul ekonomi yang dibawa Amanah pasir Salak di Konvensyen Amanah 2018 di Ipoh, hari ini.

Dengan membawa isu ini di konvensyen, katanya lagi, mereka berharap pemimpin parti seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof dan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad akan membawanya ke mesyuarat kabinet.

"Jangan playasafe sebab kita mahu kekalkan kedudukan.

"Idea ini tak dapat dipertahankan, ia obsesi Mahathir. Tetapi kita diam sebab mahu terus jadi menteri," katanya lagi disambut tepukan perwakilan lain.

[Baca berita asal]