Satu laluan baharu khusus untuk orang ramai ke klinik metadon di Hospital Bukit Mertajam di sini akan dibina dalam masa terdekat bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas di jalan masuk Tadika Methodist Bukit Mertajam yang terletak bersebelahan.
Anggota Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong berkata jalan baru itu yang dianggar menelan kos RM19,000 akan dibina menggunakan peruntukan yang disumbangkan beliau serta Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit Heng Lee Lee.
"Kita telah berbincang dengan pihak Hospital Bukit Mertajam dan mereka pun bersetuju untuk memindahkan jalan masuk (ke klinik metadon) ke bahagian hadapan (jalan ke arah Jalan Kulim).
"Untuk jangka masa panjang, pejabat saya dan pihak hospital masih lagi berbincang tentang bagaimana kita boleh menaik taraf bangunan ini termasuklah jalan-jalan akses ke klinik ini,” katanya kepada pemberita di Hospital Bukit Mertajam, di Pulau Pinang hari ini.
Sim yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata apabila laluan baharu itu siap kelak, laluan sedia ada hanya untuk kegunaan tadika itu sahaja.
Sementara itu, Pengarah Hospital Bukit Mertajam Dr Nur Aslina Bahakodin yang turut hadir, berkata Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental hospital tersebut menerima kira-kira 162 pesakit sehari dan jalan baharu berkenaan amat diperlukan.
"Saya ingin berterima kasih dengan bantuan yang diberikan ini dan pihak hospital juga dalam peringkat untuk memindahkan keseluruhan klinik psikiatri ke kawasan ini dan ia dijangka siap sepenuhnya tahun depan, namun bergantung kepada peruntukan diluluskan," katanya.
Terdahulu, Sim menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada Kelab Kebajikan dan Sukan Hospital Bukit Mertajam untuk program sukan dan rekreasi hospital itu.
- Bernama
