PAS mahu kerajaan dedah butiran terperinci JPEMA
PAS menggesa kerajaan mendedahkan butiran terperinci kandungan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia-Jepun (JMEPA) yang didakwanya akan memberi kesan kepada ekonomi negara khususnya industri automotif.
PAS menggesa kerajaan mendedahkan butiran terperinci kandungan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia-Jepun (JMEPA) yang didakwanya akan memberi kesan kepada ekonomi negara khususnya industri automotif.
Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa berkata, perjanjian yang dimeterai Disember lepas itu perlu diumumkan kepada rakyat agar mereka dapat menilai sama ada ia akan menguntungkan negara atau tidak.
"Maklumat yang kita terima, JMEPA akan membolehkan syarikat Jepun membawa masuk kereta ke Malaysia tanpa sebarang cukai dan ini dikhuatiri akan menjejaskan Proton.
"Selain itu, Malaysia juga perlu merujuk kepada Jepun sebarang perubahan polisi yang boleh memberi kesan kepada ekonomi negara terbabit. Ini akan menjejaskan kedaulatan negara," katanya kepada pemberita di ibunegara.
Menjawab soalan, Nasharudin berkata keuntungan yang diperolehi negara melalui JMEPA ialah Malaysia dibenarkan mengeksport buah-buahan dan sayuran ke negara matahari terbit itu.
"Jika ini benar, kita tidak dapat melihat bagaimana ini akan menguntungkan Malaysia memandangkan sekarang ini Malaysia tidak mampu memenuhi permintaan pasaran dalaman. Bagaimana ingin mengeksport ke Jepun?" katanya.
Menurut laporan Bernama, PAS beranggapan JMEPA itu dimeterai kerana Malaysia sedang berusaha keras untuk menarik pelabur asing selepas menyaksikan aliran pelaburan terus asing (FDI) menurun sejak kebelakangan ini.
Sebelum ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz dilaporkan berkata selain meliberalisasi dagangan barangan dan perkhidmatan, JMEPA juga mencakupi perjanjian mengenai pelancongan, penyeragaman peraturan dan hak intelek, pertanian dan kerjasama ekonomi.
Tambah beliau, perjanjian itu akan meningkatkan hubungan Malaysia-Jepun ke tahap lebih tinggi serta menggalakkan kerjasama di kalangan sektor swasta kedua-dua negara.

