Pengerusi Lembaga Pengarah Maahad Darul Anuar, Nik Omar Nik Abdul Aziz mendedahkan sekolah agama peninggalan Allahyarham ayahnya itu diceroboh, pagi tadi.

Menurutnya, sekolah yang terletak di Pulau Melaka, Kota Bharu itu diceroboh secara tidak berakhlak dan beretika.

"Awal pagi tadi, berlaku dua kejadian yang sangat mendukacitakan pihak lembaga pengarah Maahad Darul Anuar sebagai pihak bertanggung jawab dan diberikan hak untuk mengendalikan sekolah ini.

"Melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada jam 6.00 pagi tadi, mendapati suspek memecah pintu sekolah dan menceroboh kawasan bangunan dan pejabat pentadbiran sekolah.

"Tindakan ini satu jenayah kerana kawasan ini masih ditadbir lembaga pengarah Maahad Darul Anuar," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

'Warisi wasiat ayah'

Terdahulu, isu Maahad Darul Anuar berlaku selepas Yayasan Islam Kelantan (YIK) meluluskan permohonan oleh Keluarga Besar Nikmatillah supaya menguruskan sekolah berkenaan bermula sesi pengajian 2019.

Bagaimanapun Nik Omar sebagai pengetua yang mendakwa mewarisi wasiat ayahnya tetap bertegas untuk mempertahankan Maahad Darul Anuar di bawah pengurusannya yang mengambil alih sejak 2008.

Sebagai rekod, perkara itu terjadi selepas Nik Omar muncul dalam kancah politik negara apabila menjadi calon Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu.

Sementara itu, Nik Omar berkata selain menceroboh suspek turut memecah masuk ruang pejabat mengeledah peralatan milik Maahad Darul Anuar.

Menurutnya, pihak lembaga pengarah sedang menyiasat sekiranya berlaku kecurian atau kemusnahan terhadap dokumen-dokumen penting.

"Saya mengulangi, bahawa sesuai dengan amanat arwah Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat , status Maahad Darul Anuar adalah jelas; ia diamanahkan untuk dikendalikan pihak lembaga pengarah.

"Tidak pernah dalam apa juga keadaan atau apa juga kenyataan atau bukti bertulis, bahawa sekolah ini diserahkan kepada mana-mana pihak dan kita sedang menjalankan semua tadbir urus Maahad Darul Anuar sejak sekian lama," jelasnya.

Susulan itu Nik Omar berkata pihaknya akan membuat laporan polis berikutan pencerobohan tersebut.

Jelasnya, ia satu jenayah serius terhadap kepentingan hartanah dan sekolah yang diamanahkan untuk dijaga dan diselia dengan cara yang wajar dan berhemah.

"Kami juga akan mengambil tindakan perundangan terhadap pihak luar yang muncul pada jam 8.00 pagi tadi dan mengambil alih tidak mengikut saluran undang-undang.

"Semua pihak patut berhemah dan mengutamakan akhlak agama dengan membiarkan undang-undang menyelesaikan krisis ini tanpa sebarang perlakuan kasar dan tidak bermoral.

"Saya amat kesal dengan perbuatan ini dan meminta pihak polis segera menjalankan siasatan. Tindakan ini satu ancaman keselamatan kepada lembaga pengarah dan penjawat bertugas di Maahad Darul Anuar," katanya.