BERITA Malaysiakini

Kumpulan anti-Lynas dakwa ada bukti penyelewengan

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Kumpulan anti kilang pemprosesan nadir bumi Lynas Advanced Materials Plant (LAMP), Save Malaysia Stop Lynas (SMSL) mendakwa mempunyai bukti wujud penyelewengan berhubung kilang itu.

Pengerusinya Tan Bun Teet mendakwa maklumat yang turut melibatkan jabatan kerajaan itu telah dikumpulkan sejak Lynas memulakan operasinya di Gebeng, di Kuantan enam tahun lalu.

"Kami mempunyai dokumen setebal 117 halaman... banyak unsur yang boleh membuktikan ada penyelewengan. Kita akan bawa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila sampai masanya," katanya pada sidang media di Kuantan, hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak dapat memberikan tarikh laporan SPMRM itu akan dibuat selain enggan mendedahkan lebih lanjut akan dakwaan berkenaan.

Tan seterusnya mengulangi desakan agar ahli politik yang memperjuangkan isu LAMP sebelum pilihan raya umum lalu mengotakan janji walaupun perkara berkenaan tidak terkandung dalam manifesto.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Semambu Lee Chean Chung yang turut hadir meminta kerajaan membuat keputusan yang tegas dan bukan “separuh masak” berhubung isu LAMP.

“Kerajaan tidak perlu terlalu menjaga pelaburan langsung asing daripada satu kilang sahaja kerana kita masih mempunyai banyak pelaburan lain.

"Jangan terima sahaja pelaburan yang datang. Kita menggesa supaya Kabinet akur kepada kehendak dan pendirian rakyat. Sebaiknya, Kabinet dengar dengan hati terbuka dan buat keputusan yang terbaik untuk rakyat," katanya.

- Bernama