Anwar: Ada pihak cuba renggang hubungannya dengan Dr M
Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim mendakwa terdapat cubaan pihak tertentu dalam mengganggu hubungan baik beliau dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Anwar berkata usaha itu dihidu beliau apabila wujudnya andaian dan tanggapan sehingga menimbulkan persepsi tidak baik di antara mereka berdua.
“Pihak-pihak ini berniat untuk menimbulkan syak wasangka serta mengadu domba di antara saya dan Dr Mahathir dan berniat untuk merenggangkan hubungan yang baik di antara kami,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehingga hari ini seramai 17 anggota parlimen Umno telah mengumumkan keluar parti selepas pilihan raya umum Ke-14 (PRU) dan dijangka menyertai salah satu parti komponen Pakatan Harapan (PH) tidak lama lagi.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga MP Port Dickson berkata PH telah diberi mandat untuk menjana perubahan ke arah tata kelola pemerintahan yang menolak rasuah, keangkuhan dan perkauman sempit.
Oleh itu, tumpuan kini juga adalah untuk memacu pertumbuhan dan meringankan beban rakyat terutama di kalangan golongan berpendapatan rendah.
Justeru, Anwar menegaskan, beliau akan terus bekerjasama dan menyokong kepimpinan Mahathir.
"Saya terus menyokong usaha dan kepimpinan Tun Dr Mahathir, dan akan terus bekerjasama dengan beliau untuk menzahirkan agenda reformasi seperti yang telah dipersetujui," katanya.

