Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu MP PAS jumpa PM: Kenyataan Tuan Ibrahim dan SU bercanggah

Isu pertemuan dua anggota parlimen PAS dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dilihat semakin menjadi menimbulkan tanda tanya. 

Ia susulan kenyataan dua pimpinan kanan parti itu saling bercanggah antara satu sama lain.

Bagi Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, perkara itu tiada isu yang berbangkit kerana pertemuan dua anggota parlimen itu sudah dimaklumkan.

Malah beliau menegaskan, kedua-dua MP itu juga tidak perlu dipanggil untuk sebarang penjelasan.

"Tak (dipanggil). Ia bukan isu pun, (pertemuan) dalam makluman parti," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

PAS akan kenal pasti MP jumpa Dr M

Sebelum ini isu tersebut tular di media sosial dan Tuan Ibrahim yang juga MP Kubang Kerian mengakui terdapat dua anggota parlimen PAS yang mengadakan pertemuan dengan Mahathir.

Katanya, pertemuan itu satu perkara biasa memandangkan Mahathir adalah pemimpin yang mempunyai banyak pengalaman dan sering menjadi rujukan banyak pihak.

“Saya pun ada dengar begitu (pertemuan). Tapi Dr Mahathir sebagai perdana menteri, dia memang terbuka menerima kunjungan siapa sahaja. Saya pun pernah jumpa tiga, empat kali dengan beliau," katanya.

Sementara itu nada sebaliknya disuarakan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan yang menyatakan pihaknya akan mengenal pasti dan memanggil dua ahli parlimen berkenaan.

MP Kota Bharu itu berkata, pihaknya tidak tahu menahu mengenai pertemuaan itu dan ia tidak dimaklumkan kepada parti.

"Pihak saya memang tidak tahu menahu adanya pertemuan seperti yang diuar-uarkan. Adakah betul mereka jumpa? Jika betul mereka jumpa kita akan panggil dan dapatkan kepastian.

“Sekiranya ia perjumpaan atas hal individu atau peribadi, ia bertentangan dengan pendirian PAS dan mereka melanggar disiplin, tindakan mereka menimbulkan pelbagai persepsi dan seharusnya perjumpaan itu dibuat melalui parti, apapun kita akan siasat dulu," katanya, petik Sinar Online.

Menurut laporan itu, beliau berkata sekiranya benar (ada pertemuan) sebagai seorang ahli parlimen dan atas apa jua urusan, pertemuan itu perlulah dimaklumkan kepada parti.

Malaysiakini juga menghubungi Takiyuddin untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu, bagaimanapun setakat ini beliau belum memberi sebarang maklum balas. 

Lihat Komen
ADS