Garis panduan guna telefon bimbit di sekolah
Penggunaan telefon bimbit oleh murid di sekolah hanya dibenarkan di kawasan kantin, koridor dan ruang legar sekolah sebelum sesi persekolahan bermula, semasa waktu rehat dan selepas sesi persekolahan.
Penggunaan telefon bimbit oleh murid di sekolah hanya dibenarkan di kawasan kantin, koridor dan ruang legar sekolah sebelum sesi persekolahan bermula, semasa waktu rehat dan selepas sesi persekolahan.
Itu adalah antara garis panduan penggunaan telefon bimbit di sekolah yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran hari ini.
Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Ahamad Sipon berkata semua telefon bimbit hendaklah dimatikan semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta kokurikulum sekolah dijalankan.
"Penggunaan telefon bimbit termasuk Sistem Pesanan Ringkas (SMS), permainan, nada dering, kamera dan lain-lain hanya boleh digunakan di kantin, koridor dan ruang legar sekolah," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut laaporan Bernama, beliau berkata pihak sekolah boleh merampas telefon bimbit jika murid-murid tidak mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan itu.
Murid-murid juga diingatkan bahawa membawa barangan yang berharga ke sekolah adalah atas risiko sendiri.
Ahamad berkata garis panduan itu dikeluarkan bertujuan memberi panduan kepada pihak sekolah dan ibu bapa mengenai penggunaan telefon bimbit oleh murid di sekolah.
Beliau berkata kementerian juga telah mengarahkan semua Jabatan Pelajaran Negeri supaya menyampaikan dengan segera Garis Panduan Penggunaan Telefon Bimbit ke sekolah-sekolah bagi membolehkannya dilaksanakan secepat mungkin.
"Kementerian Pelajaran tiada halangan untuk membenarkan penggunaan telefon bimbit oleh murid di sekolah atas desakan ibu bapa untuk memudahkan mereka memantau anak-anak dan juga memastikan keselamatan anak mereka," katanya.

