Bekas Naib Presiden Umno Hishammuddin Hussein menggesa supaya parti itu segera mengadakan mensyuarat Majlis Tertinggi bagi membincangkan krisis yang melanda parti itu dengan tindakan keluar beramai-ramai anggota parlimennya.

"Dalam situasi yang penuh tidak ketentuan dan kebimbangan, saya menggesa kepimpinan tertinggi Umno untuk segera memanggil mesyuarat MT.

"Jaminan harus diberi kepada akar umbi di setiap peringkat apakah langkah dan ketetapan kepimpinan dalam mengurus krisis parti. Jangan berlengah, akar umbi mengharap," katanya dalam posting di Instagram.

Kenyataan Hishammuddin itu dibuat susulan satu demi satu anggota parlimen daripada parti itu keluar parti bermula dari Sabah minggu lalu. 

Di Sabah tindakan keluar parti itu melibatkan lima anggota Parlimen, sembilan Adun dan dua senator.

Ia kemudian disusuli dengan tindakan enam anggota parlimen di semenanjung mengikut jejak langkah sama.

Perkembangan terbaru itu menyebabkan Umno kini hanya memiliki 38 kerusi parlimen berbanding 54 yang dimenanginya pada pilihan raya umum lalu.

Pada masa sama, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi diberi amaran agar meletakkan jawatan atau berdepan gelombang ketiga penghijrahan beramai-ramai pemimpin Umno dari parti itu.

Zahid bagaimanapun dilaporkan berkata beliau tidak akan tunduk kepada desakan tersebut dan menegaskan beliau hanya boleh disingkirkan melalui perhimpunan agung Umno dengan kehadiran dua pertiga perwakilan.

Semalam Naib Presiden Umno Khaled Nordin berkata beliau setuju perhimpunan agung khas diadakan untuk parti itu membincangkan nasib presidennya Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi Instagram, Khalid mencadangkan agar bahagian Umno seluruh negara mengusulkan persidangan khas tersebut.