Lagi kes terpotong zakar ketika bersunat
Seorang kanak-kanak lelaki 11 tahun bernasib malang apabila sebahagian kemaluannya yang mahu dikhatankan terpotong oleh pegawai perubatan yang menjalankan majlis berkhatan beramai-ramai di Shah Alam, Selangor 8 Disember lalu.
Kejadian itu menyebabkan kanak-kanak terbabit dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan menjalani pembedahan bagi menyambung bahagian kepala kemaluannya, lapor Harian Metro hari ini.
Bagaimanapun jika usaha itu gagal doktor dilapor melakukan pembedahan plastik bagi membetulkan atau mengantikan bahagian yang terpotong itu.
Ibu kanak-kanak terbabit, Rohani (bukan nama sebenar), 36 berkata, pegawai perubatan yang mengkhatankan anaknya tidak memaklumkan apa sebenarnya berlaku, tetapi memberitahu anaknya perlu dihantar ke HKL kerana mengalami pendarahan.
“Bagaimanapun, di HKL, doktor memaklumkan bahagian kepala alat sulit anak putus akibat ‘terlebih potong’ menyebabkan anak saya perlu menjalani pembedahan,” katanya.
Menurut Rohani, anaknya menyertai program majlis berkhatan beramai-ramai anjuran persatuan penduduk kawasan kediamannya dan disertai 50 kanak-kanak termasuk anak sulungnya.
Katanya, menerusi program itu, lapan pegawai perubatan ditugaskan melakukan proses berkhatan menggunakan kaedah solehring.
“Anak saya giliran ke-45 dan dia masuk ke bilik berkhatan jam 12.30 tengah hari. Bagaimanapun, sewaktu melakukan proses itu berlaku kejadian tidak diingini menyebabkan kecederaan pada alat sulit anak saya.
“Susulan itu, anak saya dihantar ke HKL dan menjalani pembedahan pada hari sama,” katanya, kelmarin.
Ibu empat anak itu berkata, keadaan anaknya kini stabil dan dimaklumkan perlu menunggu esok untuk mengetahui sama ada pembedahan penyambungan terbabit berjaya atau sebaliknya.
“Sekiranya gagal, anak mungkin perlu menjalani pembedahan plastik bagi menggantikan bahagian terpotong itu,” katanya.
Suri rumah itu berkata, susulan kejadian pihaknya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi hari sama.
Beliau juga berkata keluarganya sedia mengambil tindakan undang-undang jika berlaku kecuaian yang boleh menyebabkan kecacatan kekal kepada anaknya.
Sementara itu, pihak HKL ketika dihubungi Harian Metro enggan mengulas lanjut.

