Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Latheefa bidas lantikan pengerusi PKR negeri
Diterbitkan:  Dec 17, 2018 1:24 PM
Dikemaskini: 6:21 AM

Bekas pemimpin pusat PKR Latheefa Koya membidas parti itu yang didakwa mengamal sikap kronisme dan nepotisme dalam melantik pengerusi PKR negeri.

Ini termasuk pelantikan anak presidennya, Nurul Izzah Anwar sebagai pengerusi PKR Pulau Pinang.

Latheefa berkata, mengikut perlembagaan parti Presiden PKR Seri Anwar Ibrahim sepatutnya berunding dengan ketua-ketua cabang negeri sebelum sebarang lantikan dibuat.

"Pelantikan Nurul Izzah sebagai pengerusi negeri Pulau Pinang oleh presiden parti yang juga bapanya sangat tidak sesuai dan terbuka kepada tuduhan amalan nepotisme.

"Amalan melantik saudara terdekat dalam jawatan penting tidak sewajarnya wujud dalam sebuah parti reformis," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.


Baca: Nurul Izzah letak jawatan naib presiden PKR


Terdahulu, Anwar yang juga anggota parlimen Port Dickson mengumumkan pelantikan pengerusi-pengerusi negeri.

Anwar Ibrahim

Latheefa berkata wujud ketidakseimbangan berdasarkan dua pengaruh utama dalam parti itu dalam pemilihan kepimpinan baru-baru ini.

Ia merujuk kepada pertembungan antara persaingan Rafizi Ramli dan Mohamed Azmin Ali dalam merebut jawatan timbalan presiden.

Latheefa berkata, kecuali dalam kes Sarawak dan Selangor, pengerusi negeri yang dilantik diketahui umum berada dalam kem utama dalam PKR.

"Kenapa wujud ketidakseimbangan yang memihak kepada satu puak? Pelantikan yang memihak kepada satu puak tertentu sama seperti kronisme, yang merupakan ancaman kepada mana-mana pihak.

"Sekurang-kurangnya dua negeri iaitu Pahang dan Sabah, calon yang dipilih pada mulanya tidak mendapat sokongan majoriti di kalangan ketua-ketua cabang negeri.

"Bagaimanapun, selepas dipanggil untuk bertemu presiden, ketua-ketua cabang negeri itu menukar sokongan mereka. Kenapa mereka beralih sokongan kepada pihak bertentangan selepas bertemu dengan presiden? Apa yang beliau (presiden) katakan kepada mereka?" soalnya.

Sementara itu bagi pelantikan pengerusi PKR Kelantan, Latheefa mendakwa pemimpin dipilih masih menjadi ahli Umno.

"Sehingga September 2018 Umno Tanah Merah mengesahkan bahawa beliau masih ahli Umno dan digantung atas tuduhan politik wang,” katanya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi pemimpin itu dan PKR negeri.

Di tiga negeri lagi, kata Latheefa, pilihan majoriti berbeza dengan lantikan presiden.

"Manakala di Johor, Negeri Sembilan dan Selangor, walaupun majoriti ketua cabang menyokong calon yang berlainan, presiden memilih calon lain dan mengabaikan pilihan mereka. Saya mempunyai salinan memorandum bertulis daripada ketua-ketua cabang negeri," katanya.

Tegas beliau, walaupun presiden diberi kuasa untuk memilih pengerusi-pengerusi negeri ia perlu berunding dengan ketua-ketua cabang.

Sebaliknya menurut Latheefa, keadaan luar biasa dan bertentangan dengan semangat perlembagaan parti wujud apabila presiden mengabaikan pilihan majoriti.

"Dalam sebuah organisasi reformasi dan demokratik, presiden parti tidak boleh menyembunyikan pendapat majoriti.

"PKR perlu sedar bahawa mereka kini merupakan sebahagian daripada kerajaan persekutuan, yang dipertanggungjawabkan dengan tugas yang tidak kurang untuk memulakan reformasi dan mengawal negara dengan betul. Oleh itu, ia mesti menegakkan amalan demokrasi tertinggi dan terbaik," jelasnya.

Nik Nazmi jawab Latheefa

Sementara itu, ahli majlis pimpinan pusat PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, meminta Latheefa supaya "move on" (bergerak ke depan).

Dalam satu siri ciapan di Twitter, anggota parlimen Setiawangsa meminta Latheefa agar merujuk perlembagaan parti, dan menilai secara adil.

"Pemilihan sudah berakhir. Kem timbalan presiden memenangi banyak jawatan.

"Pemilihan ketua-ketua di bawah kuasa presiden, selepas perbincangan dengan ketua-ketua bahagian.

"Nurul Izzah adalah naib presiden yang popular selama tiga penggal, seorang anggota parlimen dan ketua cabang Permatang Pauh. Dia layak berada dalam kabinet dan patut dinilai segala kebaikannya, " katanya.

 Tambah Nik Nazmi, Latheefa mungkin boleh mengambil bahagian untuk bertanding jawatan presiden pada pemilihan akan datang.

"Pada pemilihan seterusnya,mungkin Latheefa boleh bertanding untuk jawatan presiden dan melantik pengerusi-pengerusi negeri pilihannya," sindirnya.

Lihat Komen
ADS