Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda PH: Mohon maaf pada rakyat sebelum tukar parti

Pemuda Pakatan Harapan (PH) menggesa pimpinan parti gabungan itu melakukan semakan dan saringan ketat terhadap mana-mana individu atau kumpulan pembangkang yang ingin menyertai PH.

Pemuda PH dalam satu kenyataan hari ini berkata syarat ketat harus dikenakan kepada mereka seperti lulus saringan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mengisytihar harta secara telus dan tidak diberi jawatan penting dalam kerajaan pusat atau negeri.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ketua Pemuda PH Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang merupakan Ketua Armada Bersatu dan tiga Timbalan Ketua Pemuda PH Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PKR), Mohd Sany Hamzan (Amanah) serta Howard Lee Chuan How (DAP).

“Paling penting, (mereka perlu melakukan) permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat atas keputusan menyokong kerajaan terdahulu sebelum dan semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Mereka juga diharuskan untuk menjadi Anggota Parlimen Bebas terlebih dahulu.

“Pimpinan PH hanya boleh menerima kumpulan ini jika benar-benar berpuas hati mereka telah melepasi syarat yang dikenakan ini. Pemuda PH juga ingin menegaskan bahawa pertukaran parti politik tidak boleh sama sekali memberi pengecualian untuk sebarang bentuk siasatan salah laku dan ketirisan dikenakan kepada mana-mana individu,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, proses saringan perlu jelas, telus dan wajib dilaksanakan oleh semua parti komponen PH iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) sebelum membuat keputusan untuk menerima kemasukan anggota baharu yang terdiri daripada mereka yang meninggalkan parti asal.

Pemuda PH juga mengingatkan kerajaan agar tidak melupakan mandat yang diberikan melalui undi PRU14 yang lepas kerana anak muda mahukan kerajaan berintegriti dan bermaruah, bukannya yang mendahulukan kuasa dan kepentingan politik.

“PH bukan satu lesen untuk mencari kekayaan harta dan pengaruh kuasa. Pakatan Harapan perlu menolak apa jua bentuk kleptokrasi, rasuah dan salah guna kuasa yang dikaitkan dengan UMNO atau Barisan Nasional (BN). Tidak boleh ada kompromi dalam isu sebegini.

“Kerajaan PH perlu sentiasa komited untuk menjunjung prinsip kepimpinan yang melayani (servant leadership) yang mana kepentingan dan keperluan rakyat mestilah diutamakan melebihi kepentingan sempit politik kepartian yang mendambakan nyawa baru selepas rumah lama dimakan anai-anai kleptokrasi,” kata kenyataan itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS