Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Masih boleh hisap rokok 10 kaki dari kedai makan tahun depan
Diterbitkan:  Dec 17, 2018 6:12 PM
Dikemaskini: 10:12 AM

Perokok masih dibenarkan merokok 10 kaki (tiga meter) dari premis makan apabila larangan merokok di kawasan berkenaan dikuatkuasakan tahun depan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye dalam sidang media di lobi parlimen hari ini.

"“Kita faham juga mengenai hak perokok ini, jadi kita benarkan mereka merokok 10 kaki (tiga meter) dari premis berkenaan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Bagi pengusaha dan pemilik premis makan pula, jelas Lee, mereka dikehendaki menaikkan tanda larangan merokok serta tidak menyediakan kemudahan untuk merokok termasuklah bilik khas merokok atau bekas membuang puntung rokok.

Sebelum itu, pada sesi soal jawab di Dewan Negara, Lee menjelaskan bahawa, kementeriannya mengambil maklum kemungkinan terdapat perokok yang degil.

Maka, jelasnya pengusaha kedai makan dan restoran tidak akan dikenakan tindakan berhubung perkara itu namun mereka perlu menghubungi talian ‘hotline’ 03-388942530 yang beroperasi 24 jam untuk membuat aduan.

Lee juga menjelaskan bahawa kementeriannya mempunyai 5,008 pegawai kesihatan persekitaran yang boleh menguatkuasakan peraturan larangan merokok itu selain bantuan pegawai kesihatan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Peraturan larangan merokok itu diwarta mengikut Peraturan 11, Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 bakal dikuatkuasakan Januari tahun depan.

Denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun akan dikenakan sekiranya didapati melanggar peraturan itu.

Bagi pengusaha premis makan yang gagal mematuhi peraturan itu pula, mereka boleh didenda melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

Lihat Komen
ADS