Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pemimpin Umno keluar parti tiada kaitan politik wang'
Diterbitkan:  Dec 17, 2018 9:27 PM
Dikemaskini: 1:27 PM

Tindakan ramai pemimpin Umno keluar parti dan menyertai Pakatan Harapan (PH) terutama Bersatu berpunca daripada faktor hilang keyakinan terhadap pimpinan Presidennya Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua Setiausaha Sekretariat PH Saifuddin Abdullah berkata ia tiada kaitan dengan dakwaan kononnya berlaku politik wang kerana parti PH tidak mempunyai dana untuk berbuat demikian selain tidak mengamalkan cara berkenaan untuk menarik anggota.

“Umno berhadapan dengan perpecahan sesama pemimpinnya… ada yang keluar dan ada satu kumpulan lagi masih kekal dan ingin terus bersama dalam Umno, namun yang kekal pun berpecah kepada dua.

“Ada yang mahu Ahmad Zahid kekal terus jadi presiden, ada yang mahu beliau letak jawatan… jadi saya fikir ini disebabkan faktor mereka tidak percayakan Zahid selain mereka mungkin anggap Umno dalam keadan sekarang tidak mampu lagi mencapai matlamat perjuangannya yang asal,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat dan menyampaikan sumbangan kepada Tadika Perpaduan Pasdec Makmur, Indera Mahkota di Kuantan, hari ini.

Kaedah serap anggota pembangkang dalam PH

Menurutnya apa yang berlaku kini kepada Umno juga bukan suatu yang mengejutkan kerana sejak politik wang menjadi ‘bermaharajalela’ dalam Umno, soal perjuangan bukan lagi menjadi asas yang penting untuk kebanyakan pemimpin parti itu.

“Tetapi bagi mereka memilih untuk keluar Umno sekarang, saya tidak fikir wang menjadi faktor, saya kenal sebahagian daripada mereka yang keluar dan saya rasa mereka ada perkiraan lain.

“Mereka memilih Bersatu kerana matlamat dan prinsipnya mungkin mirip kepada Umno sedangkan DAP dan PKR agak berbeza… mungkin itu faktornya sebab itu saya tidak fikir faktornya adalah disebabkan wang,” katanya.

Dalam masa yang sama beliau berkata setiap parti komponen dalam PH mempunyai kaedah masing-masing untuk mengambil anggota parti pembangkang untuk diserapkan ke dalam parti mereka.

“Dalam PH kita setiap satu parti komponen itu dia ada kaedah tersendiri kalau nak ambil bekas anggota daripada mana-mana parti lain dan masing-masing menghormati kaedah itu misalnya kalau Bersatu nak ambik bekas anggota Umno, parti itu ada kaedahnya tersendiri,” katanya

Menurutnya reaksi kurang senang yang ditunjukkan oleh parti komponen PH tentang kemasukan bekas pemimpin Umno diambil maklum dan dibincangkan dalam Majlis Presiden secara terbuka dan saling hormat menghormati.

- Bernama

Lihat Komen
ADS