Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adib meninggal dunia
Diterbitkan:  Dec 17, 2018 10:20 PM
Dikemaskini: Dec 18, 2018 6:03 AM

Anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang cedera parah dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman baru-baru ini dilaporkan meninggal dunia 9.41 malam tadi.

Perkara itu turut disahkan melalui kenyataan media yang dikeluarkan Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan malam ini.

"Dukacita dimaklumkan Pegawai Bomba Muhammad Adib Kassim telah meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada jam 9.41 malam.

"Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang yang beriman," kata kenyataan media berkenaan.

Anggota bomba berumur 24 tahun itu merupakan salah seorang yang dikejarkan ke lokasi rusuhan pada Nov lalu.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi berhampiran, perusuh menyerang lori bomba dan van perubatan yang menyebabkan Muhammad Adib dan rakannya yang lain terpaksa berundur.

Polis mendakwa Muhammad Adib diheret keluar dari kenderaan yang dinaikinya sebelum dipukul dan menyebabkan beberapa tulang rangkanya patah selain mengalami kecederaan dalaman.

Dia kemudian dihantar ke hospital perubatan di Subang Jaya oleh orang awam. Pada 28 Nov, Muhammad Adib dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk menerima rawatan lanjut. 

Bagaimanapun, awal pagi kelmarin, kesihatan Muhammad Adib dilaporkan merosot.

Lebih menyayat hati, perkahwinannya direncanakan hujung bulan ini.

Jenazah akan diuruskan malam ini di IJN dan terus dibawa menggunakan ambulans ke kampung halaman Allahyarham di Kedah untuk dikebumikan.

Pada 26 Nov lalu, pemaju yang juga merupakan pemilik tapak tanah Kuil Sri Maha Mariamman cuba mengambil alih kawasan kuil susulan kelulusan dari mahkamah.

Pemaju bagaimanapun didakwa mengupah samseng untuk tujuan berkenaan yang menimbulkan kemarahan penganut Hindu dan seterusnya menyebabkan pergaduhan.

Pemaju sebelum ini menafikan mengupah samseng seperti yang didedahkan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

Rusuhan berlanjutan pada keesokan harinya. Muhammad Adib diserang pada hari berkenaan.

Lihat Komen
ADS