Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa semua rakyat Malaysia bertenang dan memberi jaminan pihak yang bertanggungjawab atas kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim tidak akan terlepas daripada hukuman.

"Saya teramat hiba mendengar pemergian saudara Muhammad Adib. Beliau merupakan seorang wira. Takziah diucapkan buat keluarga termasuk tunang beliau, sahabat handai dan seluruh warga bomba.

"[..] Pada masa yang sama, saya ingin mengingatkan semua rakyat Malaysia agar tetap tenang dan tidak bertindak mengikut emosi," katanya dalam kenyataan media malam ini.

Anggota bomba berumur 24 tahun itu merupakan salah seorang yang dikejarkan ke lokasi rusuhan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 Nov lalu.

Bagaimanapun, Muhammad Adib diserang perusuh menyebabkan beberapa tulang rangkanya patah selain mengalami kecederaan dalaman.

Beliau menerima rawatan lanjut di Institut jantung Negara (IJN) sejak 28 Nov lalu sehingga disahkan meninggal dunia 9.41 malam tadi.

"Adalah penting buat masa ini untuk seluruh warga Malaysia bersatu hati mengecam perbuatan jenayah ini.

"Kita harus ingat bahawa ini bukan isu agama mahupun soal perkauman, akan tetapi ini merupakan perbuatan jenayah yang dilakukan oleh penjenayah yang tidak berperikemanusian," tambah Wan Azizah.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad turut menyampaikan ucapan takziah.

"Saya amat sedih menerima berita ini. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan golongan yang beriman. Takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adib atas pemergian beliau," katanya melalui Twitter.

Jenazah akan diuruskan malam ini di IJN dan terus dibawa menggunakan ambulans ke kampung halaman Allahyarham di Kedah untuk dikebumikan.

Pada 26 Nov lalu, pemaju yang juga merupakan pemilik tapak tanah Kuil Sri Maha Mariamman cuba mengambil alih kawasan kuil susulan kelulusan dari mahkamah.

Pemaju bagaimanapun didakwa mengupah samseng untuk tujuan berkenaan yang menimbulkan kemarahan penganut Hindu dan seterusnya menyebabkan pergaduhan.

Pemaju sebelum ini menafikan mengupah samseng seperti yang didedahkan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

Rusuhan berlanjutan pada keesokan harinya. Muhammad Adib diserang pada hari berkenaan.