'Penyertaan bekas MP Umno dapat kukuhkan PH'
Penganalisis politik berpendapat tindakan pemimpin Umno yang keluar parti dan menyertai parti komponen Pakatan Harapan (PH) dapat menguatkan gabungan itu.
Antara yang berkongsi pandangan itu adalah Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.
“Saya tak nampak akan berlaku pergesaran. Saya tak nampak yang keluar Umno itu semua akan menyertai Bersatu. Ada juga nak tubuh parti sendiri, ada nak masuk Warisan, ada nak masuk Amanah.
“Saya tak nampak akan ada masalah sebab PH nak ramai pemimpin daripada pembangkang.
“Kalau mereka tak masuk parti politik tapi jadi rakan mesra PH, sebab PH dia nak reformasikan perlembagaan, perlu dua pertiga majoriti,” katanya.
Sejak pilihan raya umum 9 Mei lalu, seramai 16 orang MP telah keluar Umno dan 12 yang menjadi wakil rakyat bebas menyatakan sokongan mereka kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
PH kini berbaki 29 lagi kerusi untuk meraih majoriti dua pertiga di parlimen.
Setakat ini, parti komponen PH yang terdiri daripada Bersatu, Amanah, PKR dan DAP menguasai 119 daripada 222 kerusi parlimen, sementara 9 dipegang Warisan yang merupakan rakan sekutu mereka.
Selain itu, 12 anggota parlimen yang meninggalkan BN dan menjadi wakil rakyat bebas menyatakan sokongan kepada PH.

Jelas Mohd Azizuddin (gambar), perkembangan itu menguatkan parti-parti dalam PH dari segi "perkongsian kuasa".
“Di peringkat akar umbi mungkin dilihat ada pergeseran, tapi peringkat tertinggi PH nampak elemen untuk seimbangkan kuasa dan perkongsian kuasa.
"Saya rasa kalau fomula nak kekalkan PH, itu (penyertaan pemimpin Umno dalam PH) adalah fomula terbaik,” katanya.
'Bukan untuk halang Anwar jadi PM'
Mohd Azizuddin juga tidak setuju dengan pendapat yang mengatakan sokongan bekas pemimpin Umno kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai langkah Bersatu untuk menghalang Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri seterusnya.
Katanya, untuk menafikan Anwar menjadi perdana menteri, Bersatu memerlukan sokongan dua pertiga daripada DAP, Amanah dan sebahagian MP PKR.
“Kalau Bersatu ada komplot nak jatuhkan Anwar, kalau setakat MP yang ada tak cukup. Dia kena dapatkan juga, DAP dan PKR pun dipecahkan termasuk kerjasama Amanah. Jadi banyak benda nak dilakukan nak nafikan Anwar (menjadi PM).
“Setakat ni tak ada yang berani setakat itu. Tak ada pun nampak usaha ke arah itu dalam PH,” katanya.
Pendapat serupa dikongsi penganalisis politik Prof Ahmad Atory Hussein yang meminta parti rakan Bersatu dalam PH supaya tidak bimbang mengenai perkembangan itu.

Kata Ahmad Atory (gambar), pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail sendiri tidak membantah penyertaaan bekas pemimpin Umno dalam PH.
Untuk rekod, berhubung penyertaan bekas pemimpin Umno dalam PH, Lim sebelum ini berkata penyertaan mereka ke dalam gabungan itu tidak akan mengecualikan mereka daripada hukuman sekiranya pernah terlibat melakukan kesalahan ketika bersama BN.
Sementara Saifuddin pula menanggapi perkembangan itu dapat menyumbang kepada penguasaan dua pertiga majoriti oleh PH dalam parlimen.
“Mereka mungkin mempersepsikan benda negatif. Kalau masuk PH, (rakan komponan fikir) kecil peluang aku, habis lah PKR jadi tak dominan.
“Saya rasa kalau fikir macam tu susahlah nak mereformasikan institusi, sebagaimana yang dijanjikan dalam manifesto PH, itu perlu,” kata Ahmad Atory.
'Umno tidak akan mati'
Berkongsi perspektif berbeza, Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Agus Yusoff pula melihat, penyertaan wakil rakyat Umno dalam PH atau menjadi anggota parlimen bebas dapat "membersihkan" Umno.
Jelasnya, melainkan Umno diharamkan, ia tidak akan mati meskipun berlaku sekumpulan wakil rakyat parti itu menyertai PH.
“Umno tak akan mati jika ia tidak dimatikan oleh undang-undang. Pada saya ia pembersihan dalam Umno. Maknanya orang yang ada jati diri pertahankan semangat perjuangan Umno untuk Melayu masih ada dalam Umno. Dalam Malaysia ini dia (Umno) susah untuk dimatikan,” katanya.

Berhubung hubungan Dr Mahathir dan Anwar, Agus (gambar) kedua-dua mereka sudah belajar dari pengalaman lalu.
Tambahnya, Dr Mahathir tidak akan kembali menggoncang politik tanah air dengan menafikan hak Anwar menjadi perdana menteri.
“Anwar dan Dr Mahathir dah belajar banyak tentang kisah dahulu, dan saya tak fikir mereka dua akan goncang politik negara.
“Mereka bersatu dahulu sebelum PRU1 ke-4, nak selamtkan negara, bila dah selamatkan saya tak nampak mereka nak meruntuhkannya kembali.
“Jadi ini cuma ini cakap-cakap politik, jadi saya yakin, mereka berjiwa besar, akan tentukan masa depan bersama,” katanya.

