Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) sangat bimbang dengan pendedahan kewangan Tabung Haji baru-baru ini dan rancangan yang dicadangkan untuk membaikinya. Tabung Haji kini bukan sahaja institusi yang menguruskan rakyat Malaysia yang mengerjakan ibadat haji tetapi telah juga menjadi salah satu daripada dana pelaburan nasional yang utama.

Gabungan pelaburan berlandaskan syariah, pembayaran zakat automatik dan pakej ibadah haji bersubsidi menjadikan Tabung Haji sebagai pilihan pelaburan yang popular bagi umat Islam Malaysia.

Tabung Haji memainkan peranan penting kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB) dalam menutup jurang ekonomi relatif antara etnik walaupun MTEM menyedari bahawa jurang itu masih besar dan secara mutlak ia semakin melebar.

MTEM bersetuju dengan peletakan cabang pelaburan Tabung Haji bawah pengawasan Bank Negara. Ini langkah positif kerana Bank Negara diiktiraf secara universal sebagai salah satu institusi awam yang paling baik ditadbir di Malaysia.

Integriti dan rekod prestasi Bank Negara dalam menguruskan sistem kewangan Malaysia akan memastikan apa-apa kesilapan yang dibuat oleh Tabung Haji pada masa lalu tidak akan diulang.

Kami khuatir bahawa pemindahan aset bernilai RM20 bilion keluar dari Tabung Haji akan menjadi permulaan kepada pemindahan aset yang jauh lebih besar dan ini akan mengurangkan kepentingan Tabung Haji.

Menghadapi tekanan fiskal yang semakin meningkat, kerajaan mungkin memutuskan bahawa menjual lebih banyak aset Tabung Haji adalah lebih mudah daripada penstrukturan semula secara menyeluruh kerana ini akan mengambil masa yang terlalu lama dan pembiayaan yang sedikit.

MTEM memohon kerajaan untuk melakukan perkara-perkara berikut:

i. Pastikan jaminan kerajaan untuk semua deposit tanpa batas atas kerana ini akan mengurangkan kemungkinan pengeluaran dana oleh individu bernilai tinggi yang akan mengurangkan daya maju kewangan Tabung Haji.

ii. Lengkapkan audit penuh akaun Tabung Haji dan penilaian semua asetnya sebelum menjual aset bernilai RM20 bilion untuk IOU ke special purpose vehicles.

iii. Elakkan "kejuruteraan kewangan" yang rumit untuk menyelesaikan masalah Tabung Haji yang hanya akan menyebabkan cabaran yang dihadapi Tabung Haji menjadi kurang telus.

iv. Mujahid Rawa harus menjelaskan bahawa dividen yang diterima oleh para pendeposit dari tahun 2014 hingga 2017 bukanlah "duit haram" kerana kenyataan ini hanya akan

menyebabkan kemungkinan untuk lebih banyak dana mengalir masuk ke Tabung Haji berkurangan.

MTEM menggesa kerajaan untuk mengambil langkah ke belakang dan menilai semua alternatif dan nasihat sebelum meneruskan secara melulu ke dalam penyusunan semula Tabung Haji dengan cara yang akan merosakkan manfaat dan nilai yang dibawa kepada umat Islam Malaysia.

Adalah lebih baik untuk menggantung penyusunan semula Tabung Haji sehingga gambaran yang lebih tepat berkenaan kewangan Tabung Haji dibentuk.

Pakatan Harapan mesti mengendalikan penstrukturan aset Tabung Haji dengan berhati-hati.

Kegagalan akan menyebabkan kemarahan umat Islam Malaysia terhadap kerajaan semasa walaupun masalah Tabung Haji pastinya disebabkan oleh yang sebelumnya.

Ini adalah tanggungjawab dan beban besar yang harus ditanggung kerajaan semasa.


AHMAD YAZID OTHMAN ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM). 

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS