Anggota Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim diminta mempertimbangkan semula keputusannya menolak dilantik sebagai pengerusi PKR Johor.

Mengulas perkara itu, bekas ketua penerangan PKR Syed Ibrahim Syed Noh tidak menolak wujud salah faham berkaitan isu pelantikan itu.

“Kemungkinan dia tak dapat maklumat tepat. Saya kenal dia sebagai seorang yang berprinsip. 

"Dia tegas maka dia rasa ada keraguan dan tidak selesa bagi dia. Sebab tu dia melepaskan jawatan,” katanya ketika ditemui Malaysiakini, hari ini.

Sebelum itu, beliau menghadiri Perasmian Pemantauan Ekonomi Malaysia untuk merealisasikan potensi masyarakat di Sasana Kijang, Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, Hassan (gambar) menolak jawatan itu kerana menurutnya terdapat pihak yang mempertikaikan pelantikannya.

"Pemilihan saya sebagai Pengerusi MPN Johor turut dipertikaikan.

"Jadi adalah wajar saya meletakkan jawatan. Pengerusi baru perlulah dipilih secara lebih demokratik dan telus selaras dengan prinsip perjuangan reformasi Parti Keadilan Rakyat," katanya.

Hassan juga berkata PKR perlu meminda perlembagaan parti berhubung fasal pemilihan dalam pelantikan tersebut.

Ada nama lain

Sementara itu, Syed Ibrahim yang juga merupakan anggota parlimen Ledang mengakui PKR sebelum ini mempunyai beberapa nama lain.

Namun, katanya, Hassan adalah calon terbaik yang dipilih Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

“Saya harap Hassan boleh ambil kira pandangan semua pihak dan pertimbangkan semula.

“Soal beliau letak jawatan, belum diputuskan, presiden dan PKR masih terbuka dan bincang, segala keputusan itu rasional akhirnya.

“(Walaupun) ada nama lain, saya harap dia pertimbangkan kerana keputusan lantikan itu diputuskan dalam rundingan yang proper dan presiden terlibat dan buat keputusan,” katanya.

Bekas pemimpin pusat PKR Latheefa Koya sebelum ini membidas parti itu yang didakwa mengamalkan kronisme dan nepotisme dalam melantik pengerusi PKR negeri, termasuk pelantikan anak presidennya, Nurul Izzah Anwar sebagai pengerusi PKR Pulau Pinang.

Semalam, Nurul Izzah mengumumkan meletakkan jawatan termasuk naib presiden PKR.

Keretakan dalaman PKR yang sedang berlaku juga dikaitkan dengan perseteruan pasukan Timbalan Azmin Ali yang didakwa cuba menyekat Rafizi Ramli dan bekas setiausaha agung Saifuddin Nasution dilantik ke jawatan utama dalam majlis pimpinan pusat parti.

Mengulas lanjut mengenai keretakan dalaman PKR, Syed Ibrahim berkata parti itu terbuka terhadap mana-mana pandangan termasuk penolakan jawatan.

“Saya rasa proses lantikan, pemilihan semuanya dilakukan secara terbuka. Jadi, kalau nak faham sebab apa ada pergolakan dalam parti sampai bila tak selesai.

“Yang menang akan merebut jawatan tertentu dalam parti dan yang kalah pula ada peranan bersama kukuhkan parti, mahu menolak sesuatu pandangn okay, tapi akhirnya keputusan di tangan presiden,” katanya.