Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bendera bomba dikibar separuh tiang 3 hari
Diterbitkan:  Dec 18, 2018 2:25 PM
Dikemaskini: 6:25 AM

Sebagai tanda bersedih serta menghormati jasa Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, semua balai bomba dan penyelamat di negara ini akan mengibar bendera pasukan berkenaan separuh tiang selama tiga hari sehingga Khamis ini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Mohammad Hamdan Wahid, berkata kibaran bendera separuh tiang itu akan bermula hari ini.

Katanya nama dan jasa Muhammad Adib juga akan disemadikan untuk diperingati jabatan terbabit.

"Sesungguhnya jasa dan nama Muhammad Adib akan disemadikan bersama-sama Wira Merah di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah di Kuala Kubu Bharu, dan diabadikan dalam lipatan sejarah kebombaan negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Adib Mohd Kassim menghembus nafas terakhir malam tadi selepas dirawat akibat kecederaan parah semasa bertugas dalam pergaduhan di kuil Sri Maha Mariamman pada 27 Nov lalu.

Anggota bomba berumur 24 tahun itu dikejarkan ke lokasi terbabit bagi mengawal kebakaran kesan rusuhan akibat pertikaian tanah kuil di USJ 25, Subang Jaya.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi berhampiran, perusuh menyerang lori bomba dan van perubatan yang menyebabkan Adib dan rakannya yang lain terpaksa berundur.

Muhammad Adib dilaporkan diheret keluar dari kenderaan dinaikinya sebelum dipukul dan menyebabkan beberapa tulangnya selain mengalami kecederaan dalaman.

Mohammad Hamdan juga berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga amat berharap dalang yang terbabit dalam insiden serangan itu dikenakan tindakan sewajarnya.

"Demi menegakkan keadilan, JBPM amat berharap tindakan undang-undang yang tegas diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab ke atas kecederaan dan kematian Muhammad Adib," katanya.

Untuk rekod Muhammad Adib dijadual bernikah dengan pasangan pilihan hatinya, Nurul Najihah Mohd Radzi, pada Sabtu ini.

Lihat Komen
ADS