Misteri kehilangan seorang warga emas sejak pagi semalam terungkai apabila dia ditemukan kira-kira 20 km di dalam kebunnya di Layang-Layang.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohd Abduh Ismail berkata Tan Kek Wah, 79, ditemukan pada pukul 9.10 pagi dalam keadaan terduduk dengan dipenuhi lumpur bersama motosikal miliknya oleh pekerja ladang warga Bangladesh di Ulu Remis, Layang-Layang.

Tan dilaporkan hilang selepas keluar rumah untuk ke kebunnya di Layang-Layang pagi semalam sebelum dipercayai tersesat.

Mohd Abduh berkata mangsa dibawa keluar dari lokasi pada pukul 10.45 pagi itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Layang-Layang untuk proses bantuan awal sebelum dibawa ke klinik kesihatan dengan ambulan untuk menerima rawatan awal.

“Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang, untuk rawatan lanjut dan keadaannya kini bertambah baik,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Ekoran itu, katanya operasi mengesan mangsa yang melibatkan 50 anggota pelbagai pasukan penyelamat ditamatkan pada 11.30 pagi tadi.

- Bernama